Siakap Keli

Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands Selamat, Gambar Cerun Runtuh Adalah Gambar Lama – Zolkafly

IPOH, 5 Ogos (Bernama) — Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan laluan Jalan Persekutuan FT185 Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini adalah selamat untuk digunakan pengguna jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Zolkafly Harun berkata gambar keruntuhan cerun di laluan berkenaan yang tular adalah gambar lama yang dibangkitkan semula di laman media sosial.

“Kerajaan negeri melalui agensi teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak telah menjalankan pemeriksaan dan mendapati memang terdapat cerun yang rebak berdekatan dengan jalan berkenaan namun tidak seteruk seperti yang ditularkan.

“Ia berpunca daripada hakisan air hujan dan keadaan muka bumi yang merupakan kawasan lembah. Hasil pemerhatian juga mendapati runtuhan cerun ini berlaku di cerun tambakan yang merupakan cerun tanah,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di lokasi berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun keadaan jalan tidak mengalami sebarang mendapan atau keretakan dan kerja-kerja penambahbaikan cerun iaitu Tie Back Wall serta Micropile Slab telah dijalankan di sebahagian kawasan cerun runtuhan tersebut.

Menurutnya, JKR juga melakukan pemantauan pergerakan tanah di kawasan cerun berisiko terhadap tanah runtuh setiap tiga jam sekali bagi memastikan tiada pergerakan tanah.

Zolkafly berkata kerajaan negeri akan membuat permohonan kos sebanyak RM120 juta kepada kerajaan persekutuan untuk membaiki cerun dan berusaha untuk mendapatkan kelulusan dengan segera.

“Kerajaan negeri juga akan memastikan projek pembaikan ini dapat disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 agar satu penyelesaian yang terbaik dapat dimuktamadkan,” katanya.

Katanya rakyat diharapkan lebih bertanggungjawab supaya tidak menularkan gambar atau berita tidak benar yang menimbulkan keresahan orang ramai.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memberhentikan kenderaan di kawasan cerun untuk mengambil gambar kerana perbuatan itu boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

Baru-baru ini, tular beberapa gambar menunjukkan runtuhan tanah di cerun laluan itu dan menerima pelbagai komen warganet yang bimbang akan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)