Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lapan Lelaki Ditahan, Khianat Potong Kabel TM Sebabkan Kerugian RM500 Ribu

MELAKA, 5 Ogos (Bernama) — Polis menahan lapan lelaki yang pernah dilantik sebagai pekerja kontrak Telekom Malaysia Bhd (TM) kerana disyaki melakukan perbuatan khianat dengan memotong kabel fiber optik milik syarikat telekomunikasi itu sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM500,000.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata kesemua suspek berusia lingkungan 24 dan 42 tahun termasuk seorang berjawatan penyelia itu ditahan dalam tangkapan berasingan di daerah Muar dan Batu Pahat, Johor dan di sekitar Melaka Tengah dan Jasin bermula 12.50 tengah malam pada 3 Ogos hingga 7 malam, semalam.

Beliau berkata perbuatan khianat itu menyebabkan berlakunya gangguan sistem telekomunikasi di bangunan kerajaan seperti di mahkamah, institusi perbankan dan pejabat pihak berkuasa tempatan di sekitar Ayer Keroh, kawasan perumahan di Bukit Baru dan beberapa kawasan di Kandang serta Merlimau yang dilaporkan berlaku pada 30 Julai lepas.

“Kami menerima empat laporan polis yang dibuat oleh seorang juruteknik TM berusia 36 tahun tentang perbuatan khianat yang berlaku iaitu dua di Balai Polis Bukit Baru pada 1 dan 3 Ogos, dan masing-masing satu di Balai Kandang (31 Julai) dan Balai Merlimau (1 Ogos).

“Justeru, satu pasukan khas ditubuhkan dan suspek pertama hingga keenam ditahan di daerah Muar dan Melaka Tengah manakala dua lagi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan dan Taklimat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bersama Ketua Polis Daerah Melaka Tengah di sini, hari ini.

Afzanizar berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat itu dilakukan ekoran persaingan dalam perniagaan untuk mendapatkan kontrak namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya siasatan awal mendapati dua daripada suspek tersebut yang berusia 26 dan 27 tahun mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan curi kenderaan.

Afzanizar berkata semua suspek direman selama empat hari dari tarikh mereka ditahan iaitu bermula kelmarin dan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata tiga kenderaan termasuk manhole key dan playar yang dipercayai digunakan untuk melakukan perbuatan khianat itu turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, katanya 82 kompaun berjumlah RM82,000 dikeluarkan terhadap orang awam, pelanggan dan pengusaha premis perniagaan kerana melanggar SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan dalan tempoh 8 April hingga hari ini.

“Sebanyak 30 orang telah menjelaskan denda dan kebanyakan kesalahan melibatkan premis makanan yang tidak meletakkan seorang pekerja untuk menjaga pintu masuk bagi merekod suhu dan maklumat pelanggan serta beroperasi lebih daripada masa yang dibenarkan dalam tempoh PKPP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pemilik premis perniagaan atau pusat hiburan tidak boleh sewenang-wenangnya meminta atau memegang kad pengenalan pelanggan atau pengunjung untuk tujuan merekod data peribadi mereka sebelum memasuki premis sebaliknya pendaftaran hanya perlu dilakukan menggunakan manual atau menerusi aplikasi MySejahtera.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.