Siakap Keli

Letupan Di Lubnan Tiada Kaitan Aktiviti Keganasan – Pakar

Kuala Lumpur:  Insiden letupan besar di Beirut, Lubnan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan sebaliknya berkemungkinan akibat kegagalan kerajaan negara itu mengawal dan menguruskan bahan letupan amonium nitrat dengan baik.

Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Profesor Madya Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata lebih memburukkan keadaan, negara itu mempunyai pelbagai masalah dalaman menjadikan situasi di Lubnan semakin mencengkam seterusnya memberi kesan yang besar.

“Apa berlaku di Beirut merupakan satu malapetaka besar, ini kerana negara itu sebenarnya mempunyai pelbagai masalah terutama perang saudara selama 15 tahun, ditambah dengan isu kemiskinan yang mana Lubnan juga antara negara miskin kerana hampir 50 peratus rakyat mereka berada pada paras kemiskinan.

“Negara itu juga mempunyai hutang yang sangat besar, ditambah pula dengan isu lain seperti pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafiq Hariri pada 2005 dan Perdana Menterinya yang baharu, Hamad Hassan menghadapi pelbagai isu dalaman politik selain isu COVID-19,” katanya ketika dihubungi semasa program ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan insiden letupan itu akan memberi peluang kepada kumpulan pengganas dan pihak yang tidak bersekutu dengan Lubnan untuk menyerang negara tersebut dalam tempoh ini.

Pakar Pengurusan Projek dan Bahan Tahan Impak Letupan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Profesor Madya Ir Dr Mohammed Alias Yusof pula tidak menolak kemungkinan letupan yang berlaku adalah disebabkan kebakaran dan letupan kecil pada amonium nitrat yang disimpan dalam gudang.

Beliau berkata ammonium nitrat, yang merupakan komponen utama baja dan digunakan dalam industri pertanian, mudah terbakar dan ia tidak boleh meletup tanpa peledak.

“Kemungkinan disebabkan ada bahan letupan dalam kuantiti yang banyak disimpan di bawah gudang dan ia mengeluarkan gas atau gelombang pada kelajuan amat tinggi seterusnya meranapkan bandar dan kawasan sekelilingnya,” kata beliau.

Media antarabangsa hari ini melaporkan dua letupan besar menggegarkan Pelabuhan Beirut, Lubnan pada Selasa menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan lebih 3,000 lagi cedera.

Letupan itu, yang berlaku di sebuah gudang di Pelabuhan Beirut pada kira-kira 6.10 petang waktu tempatan, menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak nyawa terkorban dan kerosakan.

Punca sebenar letupan belum diketahui namun Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di gudang pelabuhan itu meletup.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.