Gambar: Bernama

Remaja Terpedaya Love Scam, Rugi RM295,950

Seorang peniaga membuat laporan polis semalam mendakwa kerugian RM295,950 selepas wang simpanannya itu digunakan anak lelakinya yang terpedaya menjadi mangsa penipuan sindiket Love Scam sejak Februari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 53 tahun mendakwa anaknya berumur 14 tahun memaklumkan mengenali seorang remaja perempuan dalam laman sosial Facebook yang kononnya menjual telefon pintar pada harga murah.

“Mangsa mendakwa anaknya telah menghubungi nombor telefon pada laman sosial itu dan hubungan mereka semakin baik selepas sering berbalas pesanan WhatsApp selain turut bermain permainan dalam talian Player Unknown’s Battle Grounds (PUBG).

“Selepas beberapa bulan berkenalan, suspek yang menggunakan nama Anis didakwa mula memujuk anak mangsa meminjamkan wang atas pelbagai alasan dengan janji akan memulangkan kembali wang tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mangsa mendakwa anaknya mula membuat transaksi pemindahan wang ke akaun diberikan suspek sekitar Mei lepas dan secara keseluruhannya telah melakukan 21 transaksi berjumlah RM295,950.

Perbuatan anak mangsa hanya disedari hujung Julai lalu dan suspek didakwa tidak lagi membalas pesanan WhatsApp anak mangsa selepas diminta untuk memulangkan wang berkenaan.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Cameron Highlands kira-kira 230 kilometer dari sini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Tambah komen

Dari Wiser.my