Siakap Keli
Gambar: Bernama

Sindiket Pengedaran Dadah ‘Bobby’ Tumpas

JOHOR BAHRU, 5 Ogos  — Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Bobby’ dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir setengah juta ringgit menerusi 10 serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar bandar raya ini dan Iskandar Puteri, sejak 27 Julai lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata serbuan selama lima hari itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Seri Alam.

“Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan ‘Bobby’, 27, dan teman wanitanya warga Vietnam berumur 24 tahun di tepi bangunan sebuah pusat hiburan di Jalan Permas 10, Bandar Baru Permas Jaya, di sini pada 1.40 tengah hari, 28 Julai.

“Seramai 22 individu berumur 16 hingga 61 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu turut ditahan. Mereka terdiri daripada 10 lelaki tempatan, lima wanita tempatan, satu lelaki warga Singapura, tiga wanita warga Indonesia, dua wanita warga China dan seorang wanita Vietnam,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata selari dengan penahanan itu, polis merampas 1.896 kilogram (kg) ketamin, 895.52 gram (g) ganja, 2.301 kg serbuk ekstasi, 31.81 g syabu, 2.01 g heroin, 2,469 biji pil ekstasi, 859 biji pil Erimin 5 dan dua biji pil yaba, dengan kesemuanya bernilai RM425,571.

Tambahnya, polis turut menyita pelbagai barangan kemas bernilai RM32,956, dua kenderaan bernilai RM214,000, wang tunai RM7,000, USD500, 6,000 yuan dan SGD420.

“Sindiket Bobby ini dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lepas dengan mengambil bekalan dadah dari Kuala Lumpur untuk dipasarkan di bandar raya ini.

“Saya yakin masih terdapat ahli sindiket lain yang masih bebas kerana sindiket ini baru sahaja beroperasi dalam tiga bulan, namun kita akan terus melakukan siasatan dan membanterasnya,” kata beliau.

Ayob Khan berkata semua suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula 27 Julai lepas untuk disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor; dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right