Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

“Sudah 10 Hari Ketinggalan Pelajaran,” Bapa Didakwa Curi Telefon Bimbit Agar Anaknya Boleh Belajar ‘Online’

Seorang lelaki di daerah Garut, Indonesia didakwa terpaksa mencuri sebuah telefon bimbit bagi membolehkan anaknya mengikuti pembelajaran atas talian yang dilakukan oleh pihak sekolah susulan daripada musim wabak pandemik COVID-19, lapor Tribun.

Kisah yang menyayat hati ini telah diceritakan sendiri oleh seorang penduduk kampung Cilelang, Desa jati, daerah Tarogong Kaler.

Penduduk itu menyatakan bahawa telefon bimbit yang hilang itu adalah milik ayahnya.

Menurutnya, telefon bimbit itu didapati hilang ketika ianya disimpan di rumahnya beberapa hari lalu. Bapanya juga dikatakan turut sempat untuk melaporkan kehilangan itu di balai polis.

Kerana tidak berpuas hati dan ingin mengetahui juga kedudukan telefon bimbit itu, dia telah menggunakan aplikasi penjejakan untuk mencari telefon tersebut.

“Ketika dicari, telefon tersebut masih lagi aktif,” katanya.

Lelaki itu akhirnya berjaya menemui lokasi telefon bimbit ayahnya berada. Jaraknya tidak terlalu jauh dari rumah ayahnya. Kampung yang berbeza, tetapi masih satu daerah.

Pun begitu, dirinya terkejut apabila mendapati bahawa telefon bimbit ayahnya itu berada di sebuah pondok kecil.

Dia yang datang bersama seorang rakan kemudiannya bertindak mengetuk pintu rumah tersebut dan meminta izin untuk memasukinya.

“Pada awalnya, sekiranya saya jumpa telefon itu di rumah tersebut, saya bercadang untuk mengheret pencuri itu ke balai polis. Namun setelah menjumpainya, entah kenapa saya tiba-tiba berasa sedih dan berasa kesian,” ujarnya.

Tambahnya, rumah tersebut dihuni oleh sepasang suami isteri dan tiga orang anaknya.

Rumah itu berukuran kira-kira 4×6 meter persegi dan diperbuat daripada buluh. Tidak banyak perabot di rumah. Hanya ada satu almari pakaian dan almari usang. Keadaan rumahnya pula sangat sederhana.

Kata lelaki itu, ketika dia berada di rumah berkenaan, salah seorang anak daripada pasangan itu dilihat sedang tekun belajar menggunakan telefon bimbit milik ayahnya yang hilang itu.

Dia pun menjadi lebih sedih dan kesian kerana telefon bimbit yang dicuri itu digunakan untuk belajar.

Menurutnya, kanak-kanak itu sahaja yang masih bersekolah dalam keluarga itu, sementara abangya telah berhenti dari persekolahan manakala adiknya yang paling kecil belum lagi bersekolah.

“Saya sangat-sangat tidak menyangka bahawa ayah kepada kanak-kanak itu mencuri telefon bimbit tersebut hanya untuk memastikan bahawa anaknya itu dapat mengikuti pembelajaran atas talian.

“Dari situ saya terus tidak dapat menahan kesedihan saya. Terutamanya ketika saya menunggu, saya melihat bahawa keluarga itu hanya makan sepinggan mi segera sahaja dan mi itu dimakan secara beramai-ramai,” katanya.

Dia lantas menyatakan kepada bapa kepada kanak-kanak itu bahawa telefon bimbit tersebut sebenarnya milik ayahnya.

Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu kemudiannya mengakui bahawa telefon bimbit itu memang dicurinya.

“Saya hanya meminta supaya lelaki itu datang ke rumahnya agar perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik. Dia terus menangis,” kata penduduk itu.

Bapa kepada kanak-kanak tersebut kemudiannya meminta maaf kepada ayah  atas perbuatannya mencuri telefon tersebut.

“Kalau betul niat nak mencuri, semua barang berharga di rumah ini pasti akan diambil. Tetapi tak, cuma ambil telefon sahaja,” katanya.

“Saya dan ayah saya kemudiannya memutuskan untuk tidak memperbesarkan masalah ini. Semoga lelaki itu dikurniakan rezeki untuk membeli telefon bimbit agar anaknya dapat belajar,” ujarnya.

Gambar Hiasan

Gelap mata

Ketika ditemui di rumahnya di daerah Tarogong Kaler, lelaki itu menyatakan bahawa dia mencuri telefon tersebut kerana terpaksa. Dia juga sangat menyesal atas perbuatannya itu.

“Saya sedar perbuatan saya sangat salah. Namun semalam anak saya telah meminta kepada saya untuk menggunakan telefon bimbit kerana sudah 10 hari ketinggalan dalam pembelajaran,” ujar lelaki tersebut.

Lelaki tersebut bekerja sebagai buruh tani. Pendapatannya dalam sehari dilaporkan hanyalah sebanyak 50 Rupiah sahaja. Itu pun tidak menentu susulan wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Lelaki tersebut mengaku bahawa dia memang kenal dengan pemilik telefon bimbit yang dicurinya itu kerana dia sering disuruh untuk membantu di rumah mangsa.

“Sejujurnya saya terus menjadi gelap mata. Jadi ketika saya melihat telefon bimbit itu berada di rumah, saya segera mengambilnya,” katanya.

Sumber: Tribun

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa