Siakap Keli
Gambar: Bernama

Dua Tekong Bersama Enam Pendatang Haram Ditahan

KOTA BHARU, 6 Ogos — Dua tekong darat bersama enam pendatang haram berjaya ditangkap sepasukan anggota Strike Force Pasukan Gerakan Am Batalion 9 (PGA9) di Kampung Tok Bilal dekat Machang, awal pagi semalam.

Difahamkan, pergerakan kumpulan itu dikesan pada pukul 6 pagi ketika anggota Strike Force Kompeni A PGA9 menjalankan rondaan Op Benteng COVID-19 menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda di kawasan Bukit Tandak dekat Rantau Panjang, Pasir Mas.

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata kegiatan itu dikesan selepas anggota PGA9 melihat sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan menghala ke Tanah Merah.

Beliau berkata anggotanya kemudian bertindak mengekori kenderaan disyaki sejauh 20 kilometer (km) sebelum bertindak mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan, namun pemandu itu bertindak memecut laju sebelum memberhentikan kenderaan di bahu jalan di Kampung Tok Bilal, Machang.

Bagaimanapun, beliau berkata anggota Strike Force berjaya menahan suspek setelah berlaku pergelutan dan pemeriksaan lanjut menemukan empat penumpang perempuan dan dua lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 30 di dalam kenderaan berkenaan, dengan kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, kesemua yang ditangkap bersama kenderaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing ke atas dua tekong darat warga tempatan berusia 30-an itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26(J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen1959/63 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right