Siakap Keli

Lim Guan Eng Ditahan Malam Ini, Akan Didakwa Esok

Kuala Lumpur:- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Sumber SPRM ketika dihubungi Bernama mengesahkan Lim ditahan pada kira-kira 9.30 malam ini selepas diambil keterangan berhubung kes berkenaan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Sementara itu, kenyataan SPRM menyebut Lim akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta di sini pada 9 pagi esok mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Menurut kenyataan itu, Lim juga akan didakwa pada 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa Lim bagi kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.