Sepang, 6 Ogos 2020 – Ketangkasan para pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Unit Tindakhas (UTK) berjaya menyelamatkan 54 tebusan termasuk lima anak kapal terbang yang ‘dirampas’ oleh sekumpulan pengganas berasal dari negara jiran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah malam tadi.
Kesemua penumpang kapal terbang MH2612 yang sepatutnya berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu itu turut bersyukur apabila detik paling hitam dalam sejarah hidup mereka berjaya ‘ditamatkan’ oleh UTK, hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja apabila operasi menyelamat dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, senario mendebarkan ibarat filem aksi itu hanyalah Latihamal Serbuan Kapal Terbang (Ex- Op Rampas) UTK yang julung kali diadakan pada tahun ini selepas beberapa kali tertangguh ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda negara sejak Mac lalu.
Menurut Komander UTK, SAC Tuan Mohd Khairi Khairuddin, objektif latihamal tersebut untuk menguji tahap keberkesanan perancangan dan tindakan PDRM ketika berhadapan dengan ancaman keselamatan di dalam kapal terbang.
Selain itu, ia juga bertujuan memantapkan lagi peranan dan tahap kesiapsiagaan UTK selaku sebuah Pasukan elit anti keganasan yang mampu menangani pelbagai bentuk serangan pengganas dalam negara.
Selain PDRM, latihan tersebut turut disertai oleh krew sebenar dari Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang berpangkalan di KLIA.
Hadir menyaksikan latihamal di “South Support Zone” KLIA itu ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Acryl Sani Abdullah Sani bersama ketiga-tiga timbalannya dan wakil dari MAB.
EX-OP RAMPAS: UTK FOKUS LATIHAMAL HADAPI ANCAMAN PENGGANAS DI LAPANGAN TERBANGSepang, 6 Ogos 2020 – Ketangkasan para…
Posted by Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) on Wednesday, August 5, 2020
Sumber: PDRM