Kemalangan jalan raya selalunya akan berakhir dengan tiga situasi, sama ada mangsa selamat, atau cedera parah hingga memberi kesan sepanjang hayat atau terakhir sekali, mangsa meninggal dunia.
Insiden tersebut bukan sahaja berpunca daripada faktor keadaan sekeliling (cuaca hujan, jalan berlubang dan lain-lain) dan kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri, malah keadaan kenderaan itu sendiri juga memainkan peranan penting.
Sering terpapar di dada akhbar, kes-kes kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kegagalan sistem kenderaan tersebut, mungkin akibat tidak diselenggara dengan baik.
Terbaharu, tular di media sosial akan satu tragedi kemalangan yang dilaporkan berlaku di Bandar Perdana, Kedah hari ini.

Menurut perkongsian Muhammad Nasir Desa di group Penduduk Sungai Petani, kemalangan yang melibatkan dua lori dan sebuah kereta itu didakwa berlaku di satu kawasan lampu isyarat di bandar tersebut.
Dakwanya, kemalangan dipercayai berpunca akibat kegagalan fungsi sistem brek lori yang kedua; belakang atau dalam bahasa mudahnya, ‘brek tak makan’.
Impak kegagalan brek berkenaan mungkin mengakibatkan pemandu lori hilang kawalan lalu dipercayai merempuh kereta mangsa.
Jelasnya lagi, mangsa dipercayai seorang wanita yang sedang belajar kelas memandu.
Menurut komen-komen yang ditinggalkan oleh beberapa orang netizen di perkongsian tersebut, mangsa wanita berkenaan dan guru memandu dilaporkan selamat, bagaimanapun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital.



Sumber: Muhammad Nasir Desa