Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Hampir Tiga Dekad Dalam Penjara, Lelaki Akhirnya Dibebaskan Selepas Disahkan Tidak Bersalah

Setelah 27 tahun dipenjara, seorang lelaki di timur China telah dibebaskan dari tuduhan melakukan pembunuhan dua kanak-kanak lelaki pada tahun 1993, lapor BBC.

Lelaki itu merupakan tahanan paling lama yang menjalani hukuman penjara yang salah di China setelah menjalani 9, 778 hari di penjara di wilayah Jiangxi.

Pendakwa yang membuka semula kes itu mengatakan pengakuannya tidak konsisten dan tidak sepadan dengan jenayah asalnya.

Memetik laporan BBC, dia dibebaskan selepas mahkamah tinggi menemui bahawa tiada bukti yang cukup untuk mensabitkan kesalahan ke atasnya.

Para pemerhati mengatakan bahawa China semakin bersedia untuk menghilangkan sabitan yang salah tetapi hanya untuk penjenayah, bukan politik.

Rakaman yang disiarkan oleh media China menunjukkan pertemuan penuh emosi di antara lelaki itu dengan ibunya yang berusia 83 tahun dan bekas isterinya setelah dibebaskan pada Selasa lalu.

Dia dan bekas isterinya mempunyai dua orang anak sebelum mereka bercerai 11 tahun lalu. Bekas isterinya berkahwin semula namun tetap terus membantu dirinya dengan rayuan di mahkamah.

“Saya sangat gembira apabila mendengar pengumuman mahkamah,” kata bekas isterinya.

Lelaki itu juga diberitahu oleh mahkamah bahawa dia berhak mendapat ganti rugi atas pertuduhan yang salah itu.

Pertuduhan ke atas lelaki itu bermula pada Oktober 1993 ketika mayat dua kanak-kanak lelaki ditemui di sebuah takungan kampung di Jinxian iaitu sebuah daerah Nanchang, ibu kota Jiangxi.

Dia adalah jiran kepada mangsa dan menyebabkan dirinya dikenalpasti sebagai suspek dan ditahan.

Pada Januari 1995, sebuah mahkamah di Nanchang mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman mati namun membenarkan hukuman tersebut ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup setelah dia menjalani hukuman selama dua tahun.

Kemudian, pada bulan Mac 2019, mahkamah bersetuju untuk membuka semula kes tersebut dan pada bulan Julai, pendakwa – pendakwa wilayah mengesyorkan lelaki itu dibebaskan berdasarkan bukti yang tidak mencukupi.

Pembunuh sebenar kedua-dua kanak-kanak tersebut pada tahun 1993 masih tidak diketahui.

Sumber: BBC News

Sofea

There's always another side to every story

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa