Siakap Keli

Kes Pertama Kluster Sivagangga Di Pulau Pinang, Pesakit Pulang Ke Kampung Pada 30 Julai 2020

Setakat hari ini, Kluster PUI Sivagangga telah mencatatkan 43 kes positif jangkitan Covid-19 di mana melibatkan tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Kes tertinggi iaitu 31 kes dilaporkan di Kedah yang menjadi pusat penularan wabak, 11 kes dari Perlis manakala satu (1) kes adalah dari Pulau Pinang.

Menerusi laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes pertama daripada Kluster PUI Sivagangga di Pulau Pinang (kes ke-9052) dikesan daripada saringan berisiko tinggi bagi kumpulan saringan tersasar (targeted screening).

Difahamkan, individu berkenaan telah pulang ke kampung halaman pada 30 Julai lalu yang merupakan salah satu kawasan yang kini berada di bawah pelaksanaan Targeted Enhancement Movement Control Order (TEMCO) sebelum disahkan positif Covid-19 pada hari ini.

Kes indeks Kluster Sivagangga menular di Kedah selepas seorang pemastautin tetap yang pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu dan perlu menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), namun tidak mematuhi syarat perintah itu.

Susulan itu, kerajaan negeri Kedah telah memutuskan untuk melaksanakan TEMCO di empat mukim yang terjejas akibat Kluster PUI Sivagangga. Mukim terbabit adalah Mukim Ah, Mukim Hosba dan Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu serta Kampong Ulu, Padang Sanai di daerah Padang Terap.

Manakala, lima buah sekolah di Kedah diarah tutup serta merta sehingga 29 Ogos ini iaitu sekolah menengah harian berasrama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba dan SMK Megat Dewa. Tiga lagi sekolah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, SK Megat Dewa dan SK Kubang Palas.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.