Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Tiada Pekerja Restoran Nasi Kandar Di Butterworth Positif Covid-19- Polis

KEPALA BATAS, 7 Ogos (Bernama) — Polis hari ini mengesahkan tiada pekerja restoran nasi kandar di Jalan Chain Ferry, Butterworth dijangkiti COVID-19 seperti yang didakwa dalam mesej audio yang tular menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara  ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya melakukan siasatan berhubung perkara itu setelah menerima laporan polis daripada pengarah restoran nasi kandar terbabit yang turut menerima mesej audio berkenaan.

“Menerusi mesej suara dalam bahasa Tamil itu, lelaki tersebut memaklumkan seorang pekerja di restoran nasi kandar berkenaan dijangkiti COVID-19 dan semua pelanggan telah meninggalkan premis serta diminta untuk mereka (pelanggan) tidak berkunjung ke situ lagi. Bersama mesej suara itu turut disertakan gambar restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya kini giat mengesan individu yang merakam dan menularkan maklumat palsu tersebut yang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story