Siakap Keli
Gambar: Bernama TV

Kita Perlu Menganggap Diri Kita Semua Sebagai Petugas Barisan Hadapan – PM

MUAR, 8 Ogos (Bernama) — Masyarakat perlu menganggap diri sendiri sebagai “petugas barisan hadapan” dan terus mengamalkan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyeru masyarakat, Perdana Menteri berkata pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada perlu diperluaskan lagi.

Katanya ini bagi mengelakkan daripada wujudnya kluster-kluster baharu yang menyebabkan peningkatan kes-kes positif COVID-19 di negara kita.

“Justeru, kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah perlu ada dalam diri ahli masyarakat pada setiap masa,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian COVID-19, saya menyeru anda semua terus mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa