Siakap Keli

Asap Debu Letusan Gunung Berapi Sinabung Di Indonesia Dijangka Memasuki Ruang Udara Malaysia Bermula Malam Ini- MetMalaysia

PUTRAJAYA, 10 Ogos – Asap debu letusan Gunung Berapi Sinabung, Indonesia pagi tadi dijangka tidak akan menjejaskan kualiti udara negara ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan berkata, jangkaan tersebut adalah berdasarkan model trajektori HYSPLIT yang dijana pihaknya serta ramalan dari Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC), Darwin, Australia.

“Orang ramai tidak perlu bimbang…Tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara kita akibat letupan gunung berapi tersebut.

“Keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara menunjukkan kualiti udara yang biasa (baik dan sederhana),” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Mengimbas kembali, Gunung Berapi Sinabung di Sumatera dilaporkan meletus pada 11.37 pagi tadi.

MET Malaysia menjangkakan asap debu gunung tersebut akan memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri-negeri utara serta timur Semenanjung Malaysia iaitu Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada malam ini.

”Keadaan ini boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras 1,500-5,000 meter.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial,” tambah kenyataan itu lagi.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.