Siakap Keli
Kredit: Google

Mayat Wanita Warga Emas Ditemukan Dengan Kesan Kelar Di Leher

ALOR SETAR, 10 Ogos (Bernama) — Mayat seorang wanita warga emas dengan kesan kelar di bahagian leher ditemukan di rumahnya di Jalan Anggerik, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani hari ini, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Shamsudin Mamat.

Beliau berkata mangsa, 61, ditemukan di dalam sebuah bilik rumah berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan mukanya ditekup dengan bantal.

“Mangsa yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya tinggal di rumah berkenaan bersama suaminya yang berumur 62 tahun. Pada pukul 1 tengah hari tadi, kakak mangsa telah pergi ke rumah itu bersama anak perempuannya dan menantu mangsa selepas mangsa tidak datang ke tempat kerja dan gagal dihubungi.

“Sampai di rumah mangsa, pintu rumah didapati berkunci dari luar dan pendingin hawa dibuka. Mereka kemudian telah memecahkan mangga pintu sebelum masuk ke dalam bilik dan mendapati mangsa dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah serta muka ditekup dengan bantal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shamsudin, berkata siasatan polis mendapati terdapat kesan kelar sepanjang hampir 12 centimeter pada leher mangsa.

“Polis telah mengambil beberapa sampel DNA di tempat kejadian termasuk kesan darah pada suis lampu dan anggaran kematian mangsa lebih 48 jam. Kita juga sedang mengesan suami mangsa bagi membantu siasatan.

“Jiran mangsa memberitahu kali terakhir melihat suami mangsa keluar dari rumah adalah pada Sabtu lalu dengan menaiki kereta jenis Proton Iswara,” katanya.

Shamsudin berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.