Siakap Keli

PKPD Bersasar Secara Pentadbiran Di Kg. Kuala Sanglang Dan Kg. Tanah Timbul Mulai 10 Ogos Hingga 31 Ogos Ini – Ismail Sabri

Sebelum ini seramai 872 orang penduduk di kawasan Sanglang, Perlis telah menjalani saringan pengesanan wabak COVID-19 susulan penularan kluster PUI Sivagangga di kawasan itu.  Hari ini, melalui siaran langsung sidang media oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri mengumumkan kerajaan telah memutuskan dua buah kampung di Perlis akan terlibat dalam pelaksanaan PKPD Bersasar Secara Pentadbiran.

Menurut beliau, dua buah kampung itu adalah Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul. Perlaksanaan tersebut akan bermula pada 10 Ogos sehingga 31 Ogos 2020 yang melibatkan 191 kediaman.

Tambahnya lagi, perlaksaaan PKPD bersasar ini akan menggunakan arahan SOP yang sedia, namun SOP sekatan jalan raya akan sedikit berbeza.

“Pergerakan keluar masuk oleh penduduk di luar kawasan PKPD tidak dibenarkan sama sekali. Namun, penduduk yang berada di kawasan PKPD dibenarkan keluar untuk membeli bekalan makanan di kawasan PKPD sahaja,” kata beliau.

“Semua pejabat dan institusi pendidikan akan ditutup dan ditangguhkan. Sama seperti rumah ibadat dan surau serta masjid juga akan ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi.”

“Petugas KKM akan melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas semua penduduk di dalam kawasan TEMCO,”katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata terdapat sedikit kekeliruan apabila terdapat kerajaan negeri mengumumkan mengenai melaksanakan TEMCO di lokaliti negeri mendahului kerajaan persekutuan.

Oleh itu beliau mengingatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan perlu dipatuhi oleh semua kerajaan negeri kecuali negeri Sarawak.

“Kesan daripada kerajaan negeri melaksanakan sendiri peraturan tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan, akta tersebut tak boleh dikuatkuasakan dan polis tak boleh ambil tindakan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau memberi contoh Kerajaan Negeri Sabah yang mengumumkan perhimpunan ramai tidak boleh melebihi 150 orang sedangkan ia menyalahi peraturan di bawah Akta 342 yang membenarkan perhimpunan ramai tidak lebih 250 orang.

Beliau berharap agar kekeliruan tersebut tidak berulang lagi kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terlibat.

Sumber: Sidang media MKN

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Nur Farra