Siakap Keli
Gambar - Bernama

Pelitup Muka Batik Perlu Ikut Piawaian KKM – Nancy Shukri

Kuala Lumpur: Penghasilan dan pemakaian pelitup muka fabrik bercorak batik digalakkan tetapi perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata penggunaan pelitup muka berkenaan boleh membantu mempromosi identiti batik negara ini selain mengurangkan beban kerana boleh diulang pakai.

Nancy  berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan MyCraftShopee dan pembukaan semula cawangan Karyaneka di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata terdapat permintaan bagi pelitup muka batik kerana ia merupakan daya tarikan terutama bagi mereka dari luar negara ini.

Ia juga bersifat mesra alam dan membantu mengurangkan 10 juta pelitup muka yang dibuang setiap hari di negara ini.

Sementara itu, Nancy berkata berikutan penularan COVID-19, Kraftangan Malaysia menurunkan unjuran jualan kraf tahun ini kepada RM200 juta berbanding sasaran awal RM500 juta.

“Saya sangat optimis sasaran ini boleh dicapai terutama dengan pelancaran platform digital MyCraftShopee dan permintaan daripada peminat kraf selain kualiti kraf kita tidak jauh beza dengan jenama ternama lain,” katanya.

Sehingga Jun tahun ini, nilai jualan produk kraf mencecah RM134.6 juta melibatkan 5,885 orang usahawan kraf.

Nancy berkata dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19, Kraftangan Malaysia juga melancarkan inisiatif di media sosial iaitu Facebook group yang dikenali sebagai e-Kraf bazar sejak Mac lepas dengan keahlian seramai 12,176 orang bersama 1,122 orang usahawan kraf yang kini mencatatkan jualan sebanyak RM4.21 juta.

Selain itu, satu aplikasi telefon pintar ‘CraftOnTheGo’ juga diperkenalkan bagi menyediakan perkhidmatan digital maklumat direktori secara geo-lokasi yang mengandungi profil usahawan kraf, keterangan produk, imej, maklumat media sosial dan lokasi outlet yang boleh diakses secara terus ke tempat usahawan melalui Google Maps.

Sehingga 31 Julai lepas, terdapat 923 profil usahawan kraf di aplikasi tersebut dan telah dimuat turun oleh pengguna sebanyak 1,389 kali.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.