Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Salur Maklumat Perniagaan Menyalahi Undang-Undang Kepada Pihak Berkuasa

Kuala Lumpur: Kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan perniagaan tanpa kebenaran dan menyalahi undang-undang, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Beliau berkata, maklumat tepat yang disalurkan sama ada melalui panggilan telefon, aplikasi WhatsApp mahupun di laman sosial Facebook, adalah penting bagi pihaknya untuk mengambil tindakan susulan, menerusi kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

”Kita akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa dan apa jua maklumat yang kita terima akan disalurkan kepada PDRM dan agensi lain yang terlibat, untuk diambil tindakan.

”Kita yakin dengan adanya maklumat yang tepat, agensi penguat kuasa ini boleh mengambil tindakan dengan cepat dan tegas termasuklah menutup premis,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Terdahulu, tular dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia, mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup, di kawasan Sungai Buloh.

Perkara itu bagaimanapun mendapat perhatian Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang memaklumkan pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut dan tidak akan berkompromi, terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian.

Mengenai kempen kibar Jalur Gemilang berkenaan, beliau menyeru semua pemilik premis sama ada bangunan kerajaan mahupun swasta serta kediaman persendirian, untuk memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing.

Santhara berkata, walaupun  sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan dalam  suasana norma baharu, ia perlu diraikan dengan penuh kegembiraan dan semangatnya perlu ditonjolkan melalui pengibaran Jalur Gemilang.

”Kibaran Jalur Gemilang ini menunjukkan bukti sokongan semua rakyat terhadap negara tercinta. Ayuh, sama-sama kita zahirkan rasa cinta dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara, melalui kibaran Jalur Gemilang,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.