Siakap Keli

Sembilan Gerai Di Desa Pandan Musnah Dijilat Api

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Sembilan gerai musnah  dalam kebakaran di Desa Pandan, di sini, awal pagi ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Armdan Mahat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.38 pagi dan tiba di lokasi 12 minit kemudian.

Katanya seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dan Keramat dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik pasukan sampai di tempat kejadian pada pukul 5.50 pagi, didapati api telah memusnahkan sepenuhnya sembilan gerai tersebut.

“Kami dapat mengawal api daripada merebak pada 6.01 pagi dan pada 6.19 pagi api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Armdan berkata tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang meninjau tempat kejadian pagi ini berkata, semua gerai terlibat kebakaran akan dibina semula manakala tapak sementara akan diwujudkan segera bagi membolehkan peniaga meneruskan operasi perniagaan masing-masing.

“Pertamanya, mata pencarian mereka (yang terjejas) boleh diteruskan dengan pembukaan tapak sementara jadi mereka boleh sambung berniaga.

“Kemudian, tapak-tapak mereka (yang terbakar) ini akan dibersihkan. Kita akan membina gerai baharu, kemudian mereka boleh pindah balik ke sini…,” katanya.

Selain itu, Annuar berkata pemilik gerai yang terjejas juga masing-masing akan menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang