Siakap Keli

COVID-19: KKM Sedang Siasat Berita Tular Dakwa Kes Positif Libatkan Seorang Pelajar Sekolah Di Lembah Pantai- KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 12 Ogos – Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat dakwaan tular berkenaan seorang pelajar sekolah di Seri Pantai yang didakwa positif COVID-19.

Ketua pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati seorang pelajar tingkatan lima dari sekolah tersebut telah mengalami gejala muntah dan cirit-birit pada 9 Ogos lalu.

“Pada 10 Ogos berikutnya, beliau telah dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut di mana beliau telah disaring untuk demam denggi dan juga jangkitan COVID-19.

“Keputusan saringan demam denggi didapati positif, namun pengesahan ujian COVID-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti demam denggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, sementara menunggu pengesahan ujian makmal tersebut, KKM telah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif.

“Setakat ini, seramai 34 orang pelajar dan lapan (8) orang guru dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pelajar tersebut.

“Daripada jumlah itu, seramai 28 orang telah disaring dan 14 lagi telah diberi arahan untuk hadir ke klinik kesihatan bagi tujuan pensampelan,” tambah kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, semua individu yang telah disaring tersebut diarahkan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan.

Selain itu, proses nyah cemar dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang telah dikenal pasti.

“Pemantauan ke atas kes bergejala ini dan semua kontak rapat beliau akan terus dipantau oleh KKM dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Justeru, masyarakat diingatkan bahawa kes COVID-19 hanya akan dilaporkan sebagai kes positif COVID-19 selepas ia diumumkan secara rasmi oleh KKM.

“Laporan dari mana-mana sumber lain akan dianggap sebagai spekulasi sehingga siasatan dijalankan dan disahkan oleh KKM.

“Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut,” jelas kenyataan itu lagi.

Sumber: KP Kesihatan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.