Siakap Keli

Identiti Tujuh Mangsa Maut Kemalangan Di Simpang Pulai Dikenal Pasti

IPOH, 12 Ogos – Polis mengenal pasti tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands petang semalam sebagai dua keluarga yang mempunyai hubungan persaudaraan dari Kedah.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata mereka termasuk dua pasang suami isteri dan anak-anak mereka.

Pasangan pertama dikenal pasti sebagai Mohd Zairul Mat Isa, 34 yang memandu MPV itu, isterinya Nuratiqah Abd Hamid, 30; anak perempuan mereka Nur Qaseh Damia, 4 dan ibu Mohd Zairul, Fatimah Mat Isa, 68, katanya ketika dihubung hari ini.

“Seorang lagi anak pasangan itu, Muhammad Haziq Zikri, 9, mengalami kecederaan dan sedang dirawat di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.

Menurutnya pasangan kedua pula ialah Zulkifli Shuib, 49 yang juga sepupu Mohd Zairul, isterinya Hasliza Mahmud, 40 dan anak kandung Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Dua lagi anak kandung Hasliza dikenali sebagai Apit, 16 dan Firash Mikhael Azrie Syah, 11, mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah HRPB.

Kesemua mereka beralamat di Kampung Badlishah MK Terap dan Kampung Indah Badlishah, Serdang Kedah.

“Bedah siasat ke atas semua mayat dijalankan bermula 9 pagi tadi, sementara pemandu treler tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Asmadi berkata siasatan awal mendapati dalam nahas 5.30 petang itu, MPV tersebut yang dinaiki 10 orang dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kedah sebelum dipercayai terbabas memasuki lorong bertentangan dan melanggar sebuah treler.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang