Siakap Keli
Gambar: Bernama

Mangsa Kemalangan Di Simpang Pulai Baru Rai Ulang Tahun Perkahwinan

IPOH, 12 Ogos (Bernama) — Mohd Zairul Mat Isa yang maut bersama enam lagi ahli keluarga termasuk isteri, anak dan ibunya dalam kemalangan di Simpang Pulai petang semalam, baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan pada 3 Ogos lepas.

Perkara itu dikongsikan abangnya Mohd Zakri, 37 yang berkata Mohd Zairul, 35  berserta sembilan lagi ahli keluarga termasuk sepupu, pergi bercuti di Pulau Pangkor pada Ahad lalu sebelum singgah bermalam di Cameron Highlands pada Isnin dan bertolak pulang ke Serdang, Kedah semalam.

“Kami menerima khabar berita mengenai kejadian ini kira-kira 7.30 malam daripada seorang abang dan sepupu saya yang mengetahui menerusi berita di televisyen. Pada mulanya kami tak berapa pasti tetapi menerusi gerak hati sepupu saya mengatakan itu memang keluarga kami yang kemalangan.

“Selepas diperiksa kesahihannya, baru kami dapat sahkan yang kemalangan itu adik saya dan sepupu,” katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Menceritakan lebih lanjut, Mohd Zakri berkata kali terakhir dia bertemu adiknya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik ialah pada sambutan Aidiladha baru-baru ini.

“Adik perempuan saya ada membuat panggilan video dengan ibu saya (Fatimah Mat Isa, 68) semasa percutian dan itu kali terakhir berhubung dengannya yang kelihatan gembira,” katanya.

Mohd Zakri berkata jenazah kesemua mangsa akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Badlishah, Mukim Terap, Serdang, Kedah selepas selesai urusan bedah siasat dijalankan di HRPB.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz pagi ini mengesahkan selain Mohd Zairul, turut meninggal dalam nahas itu ialah isterinya Nuratiqah Abd Hamid, 30, anak perempuan mereka Nur Qaseh Damia, 4, serta ibu Mohd Zairul, Fatimah Mat Isa, 68.

Turut maut  Zulkifli Shuib, 49, iaitu sepupu Mohd Zairul, isterinya Hasliza Mahmud,40 serta anak kandung Hasliza yang juga anak tiri Zulkifli, dikenali sebagai Mohd Alif Firdaus, 3.

Dua lagi anak Hasliza dikenali sebagai Apit, 16, serta Firash Mikhael Azrie Syah, 11, mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di zon merah HRPB, manakala pemandu treler seorang lelaki berumur 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Turut cedera ialah seorang lagi anak Mohd Zairul, Haziq Zikri, 9, yang mengalami patah tangan kanan.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, tujuh daripada 10 yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Km5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands.

Siasatan awal polis mendapati MPV yang dipandu Mohd Zairul itu dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story