Faktor genetik ibu bapa boleh mempengaruhi corak tumbesaran dan ketinggian anak-anak. Oleh itu ramai yang beranggapan ketinggian anak yang terbantut atau rendah daripada normal disebabkan faktor ibu bapa.
Namun, tahukah anda 80% pertumbuhan anak anda bergantung kepada apa yang dialami pada 1000 hari pertama kehidupan iaitu sejak dari dalam kandungan sehingga berusia 2 tahun?
Jadi ibu bapa yang pendek atau rendah tidak menjadi penyebab utama anak terbantut dan ianya boleh dicegah dengan 7 tips seperti yang dikongsikan oleh Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia ini.
IBU BAPA RENDAH BUKAN PENYEBAB UTAMA ANAK BANTUT
Bantut ialah masalah ketinggian yang tidak seiring dengan usia. Dalam kata lain, pendek atau rendah berbanding rakan seusianya. Ia ditentukan berdasarkan ukuran panjang atau tinggi dengan umur kanak-kanak.

“Ibu bapa pun rendah. Sebab itu anak bantut”
Oleh itu, sekiranya anda merupakan ibu bapa yang rendah, anda mempunyai peluang untuk mempunyai anak yang tinggi dengan memastikan amalan pemakanan sihat dimulakan dari awal!
Cegah BANTUT dengan cara:
1) Pastikan kenaikan berat mengikut saranan sewaktu kehamilan
2) Pastikan bacaan darah atau Hb sewaktu hamil, 11.0 gm% dan ke atas
3) Berikan susu ibu sahaja (secara eksklusif) kepada bayi dari lahir hingga berusia 6 bulan.
4) Mulakan makanan pelengkap pada usia 6 bulan.
5) Beri makanan mengikut tekstur dan kekerapan yang disarankan.
6) Elak beri kopi, teh dan kola kepada anak yang sedang membesar. (Ia boleh menghalang penyerapan kalsium yang penting untuk tulang)
7) Dan yang paling penting, PASTIKAN BERAT, PANJANG/TINGGI DAN BMI ANAK ADA SESUAI DENGAN USIA. Bawalah anak ke klinik kesihatan mengikut temu janji yang ditetapkan untuk pemantauan berterusan.
Yang telah lepas, biarlah lepas. Marilah kita menjaga generasi yang akan datang – anak Malaysia yang bakal lahir atau sedang membesar. Jagalah pemakanan anak-anak dari awal. Cegahlah sebelum merana. Agar anak anda membesar cergas dan sihat sentiasa.