Siakap Keli

Lelaki Maut Dihempap Traktor Di Beaufort

BEAUFORT, 13 Ogos – Seorang lelaki maut apabila traktor yang dipandunya terbabas dan terbalik ke dalam parit dalam kejadian di Kampung Luagan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak berkata dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, mangsa Abdul Hamid Rajja, 59, yang dihempap oleh traktor berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat cedera parah pada bahagian kepala.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa sedang melakukan kerja-kerja memunggah buah kelapa sawit di ladangnya menggunakan sebuah traktor.

“Apabila tiba di lokasi kejadian semasa mangsa melintasi sebatang parit kecil, traktor yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu tergelincir dan terbalik sebelum mangsa dihempap oleh traktor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian mangsa sendiri yang gagal mengawal pergerakan kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang