Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pemulihan Akibat Tumpahan Minyak Di Pesisir Mauritius Ambil Masa Berdekad – NGO

Kesan tumpahan bahan bakar dari kapal kargo Jepun yang tersadai di Lautan Hindi di  luar pantai Mauritius akan memakan masa puluhan tahun untuk dihapuskan, kata Vikash Tatayah, Pengarah Pemuliharaan Yayasan Hidupan Liar Mauritius, pada  Khamis.

Menurut agensi berita Sputnik, kapal itu – Wakashio – mengalami kemalangan sekitar 26 Julai dalam perjalanan dari China ke Brazil. Minggu lalu, gambar satelit menunjukkan tompokan gelap yang besar di sekeliling kapal yang rosak yang dianggarkan berjumlah 1,000 tan metrik minyak berat.

Tatayah memberitahu penyiar NHK Jepun kemalangan itu berlaku 1.2 kilometer dari kawasan pemuliharaan spesies burung terancam dan  tumbuhan yang dilindungi.  Banyak spesies ikan dan ketam mati akibat tumpahan minyak, kata pakar alam sekitar itu.

Selain itu, kawasan hutan bakau turut rosak,  dan Tatayah percaya tanah yang tercemar akan menjejaskan burung dan serangga dalam jangka sederhana hingga panjang.

Akibat daripada tumpahan tersebut kemungkinan besar akan menjejaskan ekonomi, kerana kebanyakan penduduk  di Mauritius bergantung kepada penangkapan ikan dan pelancongan, sesuatu yang digambarkan oleh ahli pemuliharaan sebagai “dua tekanan terhadap ekonomi tempatan” selain kejutan ekonomi yang berkaitan dengan COVID-19, seperti dipetik dalam laporan itu.

Tatayah mencadangkan pemilik kapal yang rosak itu, Mitsui O.S.K. Lines, memberikan “pampasan yang sewajarnya.”

Menurut pakar, rawatan ke atas akibat yang ditinggalkan kemalangan itu mungkin akan berlanjutan “selama bertahun-tahun.”

Kerajaan Mauritius telah meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengatur bantuan bagi menangani tumpahan tersebut, dengan menyediakan pakar dan peralatan. Mitsui O.S.K. Lines telah berjanji untuk menyokong usaha tersebut. Perancis dan Jepun menghantar pasukan ke lokasi kemalangan, dan pembersihan minyak telahpun bermula.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right