Siakap Keli

Kegiatan Jual Semula Sarung Tangan Getah Tiruan Dibongkar

PUTRAJAYA, 14 Ogos — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), membongkar satu kegiatan menjual sarung tangan getah tiruan jenama ‘Gloveon Paloma’ dalam satu operasi di sebuah premis perniagaan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, malah hasil pemeriksaan pihaknya mendapati pihak peniaga barang tiruan itu, membeli sarung tangan getah terpakai yang kemudiannya dibersihkan dan dibungkus semula, menggunakan jenama Gloveon Paloma yang berdaftar dengan cap dagang.

Katanya, operasi itu dijalankan hasil maklumat yang diterima mengenai penjualan sarung tangan getah tiruan jenama itu, daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar Cisco (M) Sdn Bhd yang mewakili Hartalega NGC Sdn Bhd.

“Perbandingan sarung tangan getah tiruan dengan sarung tangan getah yang asli adalah dari segi kualiti, ketebalan, warna, pembungkusan dan percetakan pada kotak pembungkusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar Halim berkata, serbuan menemukan sebanyak 840 kotak bersiri sarung tangan getah tiruan dan 8,280 unit kotak kosong jenama Gloveon Paloma dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM42,320.

“Hasil daripada verifikasi awal yang dijalankan wakil pemilik cap dagang berdaftar, mendapati kotak sarung tangan getah tersebut juga disyaki tiruan,” katanya.

Iskandar Halim berkata kes disiasat di bawah perenggan 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Katanya orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai kegiatan seperti itu kepada KPDNHEP melalui talian 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'