Siakap Keli

Wanita 19 Tahun Dakwa Dirogol Secara Berkumpulan, 7 Suspek Termasuk Kembar Ditahan

PETALING JAYA, 14 Ogos – Seorang wanita tempatan berusia 19 tahun didakwa menjadi mangsa rogol secara berkumpulan di sebuah rumah di Sungai Way, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa pada awalnya mengenali suspek pertama menerusi aplikasi WhatsApp serta pernah berjumpa sebanyak dua (2) kali pada Mac dan Jun tahun ini di sekitar Shah Alam.

“Sebelum kejadian berlaku, mangsa telah diajak keluar bersiar-siar oleh suspek pertama bersama dua (2) lagi rakan suspek di kawasan Dataran Shah Alam dengan menunggang motosikal berasingan.

“Suspek pertama membawa mangsa ke Klang untuk mengambil barang. Dalam perjalanan pulang ke Shah Alam semula, salah seorang rakan suspek pertama telah terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecederaaan.

“Justeru, suspek pertama telah meminta mangsa untuk mengikutinya pulang ke rumah di kawasan Sungai Way bagi membantu mencuci luka rakannya itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, jelas Nik Ezanee, selepas luka selesai dicuci, mangsa disuruh suspek pertama untuk masuk ke salah sebuah bilik di rumah tersebut.

“Kemudian, mangsa telah dipegang dan mulut ditutup. Mangsa cuba meronta tetapi telah dipegang dan ditindih secara paksa.

“Akhirnya, mangsa telah dirogol secara bergilir-gilir tanpa kerelaannya. Selepas kejadian tersebut, salah seorang suspek bertindak menghantar mangsa ke rumah,” tambah kenyataan itu lagi.

Ekoran itu, berdasarkan laporan polis yang dibuat, pada 13 Ogos berikutnya sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya telah membuat serbuan dan tangkapan di sebuah rumah di Sungai Way kira-kira pukul 9.30 malam.

Hasil serbuan tersebut, seramai tujuh (7) lelaki warganegara tempatan berusia lingkungan 19 ke 24 tahun yang merupakan suspek utama dalam kes rogol berkumpulan tersebut telah ditangkap.

“Siasatan awal mendapai suspek pertama dan suspek kedua merupakan adik-beradik kembar (dan) telah mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.

“Semakan rekod lampau mendapati tiga (3) daripada suspek mempiunyai rekod dadah Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Merbahaya 1952.

“Pihak polis turut merampas tujuh (7) buah telefon bimbit pelbagai jenama serta sebuah motosikal milik suspek pertama,” katanya lagi.

Difahamkan, kesemua suspek telah direman selama lima (5) hari dan disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.