Siakap Keli
Kredit: Bernama

19 Premis Makanan Diarah Tutup, 9 Kompaun Dikeluarkan Terhadap Perokok Dalam Ops Bersepadu Premis Makanan Di Kuala Langat & Hulu Selangor

SHAH ALAM, 14 Ogos (Bernama) — Sebanyak 19 premis menjual makanan diarah tutup dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di sekitar Kuala Langat dan Hulu Selangor semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak 11 buah premis diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 manakala lapan buah premis lagi diarah tutup kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kesemua premis yang diarah tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 telah diberi tempoh selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan manakala premis yang tidak patuh kepada SOP PKPP diarah tutup selama tujuh hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Sha’ari berkata, dalam operasi berkenaan juga sebanyak sembilan notis berjumlah RM2,250 telah dikeluarkan kepada pelanggan kerana merokok di premis makanan.

“Selain itu sebanyak 162 notis turut dikeluarkan kepada pemilik dan pekerja premis makanan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.

Dr Sha’ari berkata, JKNS akan sentiasa mengadakan Ops Bersepadu Premis Makanan di seluruh Selangor bagi memastikan pemilik premis dan pengendali makanan serta orang ramai mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan dan Peraturan-peraturan Makanan bagi memastikan pelangan mendapat makanan yang selamat di samping memastikan semua pihak patuh terhadap SOP PKPP.

Ops Bersepadu Premis Makanan itu diselaraskan oleh Unit Inspektoran dan Perundangan JKNS dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat, serta Pejabat Kesihatan Hulu Selangor.

Seramai 129 pegawai kesihatan bersama 19 anggota polis dan empat orang anggota Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.