Siakap Keli

Guru Terjemah Cinta Pada Negara Melalui Landskap Rumah Dengan Jalur Gemilang

BALIK PULAU, 15 Ogos – Benarlah kata orang, menterjemahkan cinta pada negara itu banyak caranya dan satu daripadanya adalah menzahirkan rasa itu pada sentuhan landskap rumah, dengan ribuan Jalur Gemilang.

Bagi seorang guru Normala Md Desa, 57, hatinya cukup tenang dan amat gembira tatkala melihat deretan bendera yang dipasang sendiri di laman rumahnya, berkibar ditiup angin.

“Saya rasa puas bila tengok bendera Malaysia berkibar ditiup angin, sangat cantik pemandangan pada waktu itu dan di situ lahirnya rasa semangat jati diri kepada negara Malaysia tercinta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perlis, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, saban tahun beliau dan anaknya akan bertungkus lumus untuk menghias rumah mereka, menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Setiap tahun kami hias perkarangan rumah ini menjelang sambutan merdeka dan kami juga ada tema, jika sebelum ini temanya adalah perpaduan ia berbeza untuk kali ini, maka tema sambutan untuk tahun ini saya angkatkan kisah kita berjuang untuk melawan COVID-19.

“Jadi saya telah mereka cipta replika COVID-19 dengan menggunakan aloi iaitu 14 batang aloi dan kemudian membentuknya. Selain itu saya juga memaparkan poster bagi tempoh PKP yang telah kita jalankan sejak dari PKP fasa pertama hinggalah yang terkini (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Guru Tadika Perpaduan Pantai Jerejak itu berkata, simbolik replika COVID-19 itu adalah sebagai tanda rakyat Malaysia sedang kuat berjuang, melawan penyakit tersebut yang melanda dunia kini.

“Jika dahulu zaman moyang, datuk, nenek kita berjuang melawan penjajah hingga berjaya mendapatkan tanah Melayu, hari ini kita berjuang pula melawan penyakit yang membunuh secara senyap…berjuang untuk satu perkara yang kita tidak dapat lihat, (ini) lebih hebat,” katanya.

Normala yang  turut dibantu oleh anak perempuannya yang mewarisi minatnya, Nurul Nadiah Tajuddin, 24, berkata semangat kecintaan terhadap negara perlu disemai dan ada pada setiap insan.

“Pasanglah walau satu bendera di rumah dan dari sekeping bendera itu hayatilah pengorbanan, dan bukan senang untuk kita memperoleh kemerdekaan.

“Untuk anak murid saya di tabika selalu saya terapkan perkara ini, macam budak-budak tidak faham apa maksud kemerdekaan, dari sini kita mula ajar,” katanya yang turut memasang bendera dan menghias tabika bersama-sama anak-anak muridnya.

Sebelum ini, Normala turut menghias rumahnya dengan bendera dan membina replika keretapi Bukit Bendera dan beberapa replika lain, dengan kos RM3,000.

Selain replika keretapi Bukit Bendera, wanita itu turut menghasilkan replika Jambatan Pulau Pinang yang dihasilkan menggunakan paip dan papan, serta Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang dibuat menggunakan 945 botol mineral, turut diletakkan di perkarangan rumahnya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang