Siakap Keli

Kenapa Ujian Kehamilan Penting & Kenapa Tak Buat ‘Ultrasound’ Terus Jika Wanita Ada Masalah Di Bahagian Perut Atau Haid Lambat? Ini Penjelasan Doktor

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ada sesetengah wanita pernah mengalami situasi di mana haidnya tidak datang dalam satu tempoh tertentu.

Bagi wanita yang sudah berkahwin, mungkin itu adalah petanda baik bahawa dia sudah mengandung, tapi bagaimana pula dengan wanita yang belum berkahwin dan tidak pernah melakukan hubungan seks?

Adakah dia perlu menjalani ujian kehamilan juga?

Seorang pengamal perubatan, Dr. Khairul Hafidz berkongsi tentang kepentingan membuat ujian kehamilan di laman Twitternya baru-baru ini.

Ikuti perkongsiannya di bawah.

Sewaktu saya bekerja di klinik dulu, apabila seorang perempuan dalam umur reproduktif, jika dia mempunyai masalah di bahagian perut atau mengatakan haidnya lambat, saya pasti akan meminta mereka membuat ujian kehamilan.

Prinsip kami, women is pregnant until proven otherwise.

Ini adalah untuk mengelakkan kami supaya tidak tersalah diagnosis kehamilan luar rahim (ectopic pregnancy) yang boleh membawa maut.

Antara gejala ectopic pregnancy adalah sakit perut dan haid berhenti.

Mengapa tidak dilakukan ultrasound terus?

Kerana ujian kehamilan adalah ujian saringan terbaik untuk mengetahui hamil atau tidak.

Jika ianya memang ectopic pregnancy, ianya tidak mudah untuk dilihat di ultrasound kerana kantung tidak berada dalam rahim tapi di tempat lain.

Jadi saya berharap para wanita semua janganlah tersinggung jika ada doktor yang meminta melakukan ujian kehamilan kerana ianya satu prosedur yang menyelamatkan nyawa.

Terus terang juga saya katakan, walaupun masa yang singkat saya bekerja di klinik kesihatan, saya mendapat beberapa kes di mana mereka tidak jujur, bila diperiksa ternyata mengandung.

Masa itulah baru nak bagitau.

Harap semua memahami mengapa ujian kehamilan dilakukan.

Sumber: Khairul Hafidz

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'