PUTRAJAYA, 17 Ogos – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, gelaran dan darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang dikurniakan ke atasnya hari ini adalah lambang penghormatan buat warga Kementerian Kesihatan (KKM).
“Merafak sembah, menjunjung kasih mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di atas limpah perkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) ke atas patik sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tahun 2020 di Istana Melawati, Putrajaya.
“Alhamdulilah, gelaran dan darjah kebesaran ini merupakan satu penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir KKM. Ianya sekaligus merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan Kerajaan kepada penjawat awam.
“Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik COVID-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tan Sri Dr. Noor Hisham adalah antara 12 individu yang dikurniakan darjah tersebut yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.
Selain daripada beliau ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Ackbal Abdul Samad.
Turut dianugerah PSM ialah bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif The Lotus Corporation Bhd, Datuk R Doraisingam; Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Datuk Ahmad Nizam Salleh; Presiden Kumpulan Sunway Group Berhad, Datuk Chew Chee Kin; Pengarah Urusan Platinum Victory Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Gan Yu Chai dan Pengasas dan Pengarah Urusan SENA Group of Companies yang juga Pengasas dan Pengarah Optimax Holding Berhad, Datuk Tan Boon Hock.
Merafak sembah, menjunjung kasih mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong…
Posted by Noor Hisham Abdullah on Sunday, 16 August 2020
Sumber: KP Kesihatan, BERNAMA