Siakap Keli

Kerajaan Terbit Sukuk Prihatin, Sukuk Digital Pertama Di Malaysia & Patuh Syariah

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Kementerian Kewangan melancarkan terbitan Sukuk Prihatin yang dilaksanakan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menterinya, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul berkata, sukuk yang diterbitkan tersebut merupakan instrumen patuh syariah yang berlandaskan prinsip Tawarruq melalui pengaturan Komoditi Murabahah untuk warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

“Sukuk ini boleh dilanggan menerusi JomPAY dan/atau DuitNow yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia.

“Maybank adalah bank pengedar utama bagi sukuk ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Dalam pada itu, jelas Zafrul, pelaburan minimum Sukuk Prihatin adalah RM500 serta tiada had maksimum.

“Sukuk Prihatin akan diperuntukkan berdasarkan tarikh dan masa langganan yang paling awal (first come, first served).

“Tempoh tawaran bagi Sukuk Prihatin ini ialah dari 18 Ogos hingga 17 September 2020,” tambah kenyataan itu lagi.

Selain itu, jumlah keseluruhan terbitan yang disasarkan adalah sebanyak RM500 juta dan ia mempunyai tempoh matang selama dua (2) tahun.

“Dengan tawaran pulangan sebanyak dua (2) peratus setahun, ia merupakan suatu instrumen yang sesuai untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan (portfolio diversification).

“Keuntungan akan dibayar setiap suku tahun dan dikecualikan cukai,” jelasnya.

Dalam pada itu, terbitan sukuk patuh syariah tersebut adalah hasil permintaan daripada pelbagai pihak untuk turut membantu dalam usaha pemulihan ekonomi negara.

Sehubungan itu, tambah Zafrul, kerajaan memutuskan terbitan sukuk tersebut merupakan satu pilihan instrumen yang telus dan bersesuaian dengan permintaan tersebut.

“Pemegang sukuk diberikan pilihan untuk menyumbang pembayaran balik modal (prinsipal) apabila pelaburan matang selepas dua (2) tahun.

“Sumbangan ini akan diberi potongan cukai yang sewajarnya,” jelas kenyataan itu lagi.

Difahamkan, hasil terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada Kumpulan Wang COVID-19 bagi pelaksanaan inisiatif pemulihan ekonomi.

Ia termasuk meningkatkan kesalinghubungan kepada sekolah-sekolah luar bandar, menampung perbelanjaan kesihatan berkaitan penyakit berjangkit dan membiayai PKS mikro terutamanya usahawan wanita.

Bagi maklumat lanjut tentang terma dan syarat, orang ramai boleh menghubungi bank-bank terlibat atau layari https://penjana.treasury.gov.my/.

Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.