Insiden mengenai seorang kanak-kanak yang berusia 12 tahun hidup kembali setelah diisytiharkan meninggal dunia telah menggemparkan penduduk kampung di Probolinggo, Jawa Timur, lapor Tribun News.
Sebelum itu, kanak-kanak perempuan itu dinyatakan telah meninggal dunia oleh pihak hospital.
Kejadian tersebut telah disahkan oleh Ketua Polis Lumbang Probolinggo, AKP Muhammad Dugel.
Kanak-kanak itu pada awalnya dilaporkan mengalami kesakitan dan kekejangan pada Sabtu lalu.
Setelah dibawa ke hospital, kanak-kanak itu rupanya menghidap diabetes yang sangat teruk.
Dia dinyatakan telah meninggal dunia oleh pihak hospital pada semalam (Isnin) dan dibawa pulang oleh keluarga ke rumah pengebumian.
Saat ‘jenazah’ dimandikan, keluarganya terkejut melihat kanak-kanak itu membuka mata dan berkedip, petik Tribun News.
Melihat kejadian itu, mangsa telah dibawa masuk oleh keluarga ke dalam rumah.
“Kerana keadaan mangsa sangat lemah, pihak keluarga telah menghubungi petugas perubatan Puskesmas Lumbang untuk mendapatkan pertolongan mereka,” kata AKP Muhammad.
Selang beberapa saat kemudian, petugas perubatan tersebut melakukan pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu dan memberikan oksigen. Keadaannya sangat lemah kerana denyut jantungnya tidak boleh dikesan oleh alatan perubatan.
AKP Muhammad Dugel juga berkata bahawa tekanan darah kanak-kanak itu berada pada jumlah 60.
Tidak lama kemudian, kanak-kanak itu dinyatakan ‘meninggal dunia semula’.
“Jenazah telah dimakamkan di tempat pemakaman umum yang berdekatan dengan Desa Lambang Kuning Kecamatan Lumbang,” ujarnya lagi.
Sumber: Tribun News