Siakap Keli
Gambar: Portal UPM

Hebat, Penyelidik UPM Cipta Baju Kalis Peluru Diperbuat Dari Bahagian Pokok Kelapa

SERDANG, 19 Ogos – Penyelidik Universiti Putra Malaysua (UPM) berjaya menghasilkan perisai pelbagai lapisan (multilayer armour – MA) kalis peluru yang diperbuat daripada bahagian pokok kelapa.

Ia dicipta menggunakan lapisan helaian kulit bahagian pangkal pelepah kelapa (cocos nucifera sheath – CNS) yang berfungsi boleh menggantikan fabrik jenis Kevlar pada jaket kalis peluru tanpa menjejaskan prestasi balistiknya.

Ketua kumpulan penyelidik, Dr. Mohammad Jawaid berkata, inovasi yang diberi nama Techno Economic Hard Body Armour itu digunakan pada jaket sebagai jaket kalis peluru dan ia memenuhi spesifikasi keperluan standard National Institute of Justice (NIJ) Tahap III.

“Ujian balistik dilakukan menggunakan peluru 7.62 milimeter kaliber sebagai peluncur tenaga kinetik tinggi, dari jarak 15 meter dengan halaju tembakan 838±15m/s.

“Ujian dijalankan di Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) Selangor,” katanya, memetik laporan portal rasmi UPM semalam.

Dr. Mohammad Jawaid mengangkat jaket kalis peluru yang menggunakan cocos nucifera sheath, inovasi yang diberi nama ‘Techno Economic Hard Body Armour. | Gambar: Portal UPM
Lapisan helaian kulit bahagian pangkal pelepah kelapa (cocos nucifera sheath) yang dihasilkan menjadi perisai pelbagai lapisan (MA) kalis peluru. | Gambar: Portal UPM

Daya perlindungan terbukti berkesan

Difahamkan, hasil ujian mendapati kedalaman ukuran trauma ketumpulan (ballistic blunt trauma measurement) baju kalis peluru pelbagai lapisan berasaskan CNS adalah 26.51 milimeter, iaitu lebih rendah daripada had maksimum blunt trauma limit 44 milimeter yang dibenarkan mengikut standard NIJ.

Dalam pada itu, Dr. Mohammad yang juga Felo Penyelidik Kanan (Profesor) di Laboratori Teknologi Biokomposit, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) UPM berkata, ia juga mampu menjimatkan 44 peratus kos fabrikasi berbanding MA yang berasaskan Kevlar.

Menurutnya, secara umumnya MA terdiri daripada seramik (SiC), komposit (Kevlar/epoxy) dan logam (Al), namun hambatan utama menggunakan komposit berasaskan fabrik aramid atau Kevlar sebagai lapisan kedua dalam MA adalah mahal dan boleh mencemarkan alam sekitar.

Jaket kalis peluru daripada lapisan helaian kulit bahagian pangkal pelepah kelapa (cocos nucifera sheath). | Gambar: Portal UPM

“Oleh kerana sifatnya yang bukan-biodegradasi, ia boleh mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan eko-sistem.

“Dan disebabkan fabrik lebih aramid lebih mahal, ia akan meningkatkan kos keseluruhan pembuatan MA,” katanya lagi.

Bahan semulajadi, mesra alam

Tambah Dr. Mohammad, jaket kalis peluru monolitik yang diperbuat daripada fabrik aramid atau keluli memerlukan tahap ketebalan yang agak besar dan boleh menjejaskan pergerakan serta keselesaan pemakainya.

“Justeru, penyelidikan dan kajian yang dilakukan adalah bagi menggantikan fabrik aramid/Kevlar dengan bahan semulajadi (cocos nuciferea sheath/epoxy composite) yang mudah diperoleh dan mesra alam tanpa menjejaskan prestasi balistik.

Dr. Mohammad Jawaid memakai jaket kalis peluru yang menggunakan ‘cocos nucifera sheath’. | Gambar: Portal UPM

Techno Economic Hard Body Armour menggunakan lapan kepingan MA dengan masing-masing empat di bahagian depan dan empat di bahagian belakang jaket untuk menjadikannya jaket kalis peluru dan beratnya adalah kira-kira lima (5) kilogram,” jelasnya lagi.

Penyelidik lain yang turut terlibat sama ialah pelajar Doktor Falsafah (PhD), Jesu Arockiam Navreen, Prof. Madya Dr. Edi Syams Zainudin dan Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan dari UPM serta Dr. Ridwan Yahaya dari STRIDE.

Dr. Mohammad Jawaid. | Gambar: Portal UPM

 

Sumber: Laman Facebook UPM & Portal Rasmi UPM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.