KOTA KINABALU, 19 Ogos (Bernama) — Kata orang ‘kesusahan mendekatkan sesama manusia’ dan ini berlaku dalam kisah persahabatan dan ikatan tanpa sempadan antara rakyat Sabah dan Australia yang menjadi tahanan perang (POW) di sini ketika Perang Dunia Kedua.
Kisah menyedihkan mengenai Hari Sandakan terkandung dalam buku-buku sejarah menceritakan hampir 2,500 tahanan Australia dan British ditahan di sebuah kem di Sandakan, yang mana kesemuanya terkorban pada tahun 1945, kecuali enam tahanan Australia berjaya melarikan diri atas bantuan penduduk kawasan berkenaan.
Walaupun ia adalah episod sedih dalam sejarah Australia, namun Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski percaya ada kebaikan di sebalik kesedihan, dan terdapat pengajaran yang boleh diambil dan diraikan.
“Yang penting adalah enam tahanan yang berjaya melarikan diri dan selamat atas bantuan daripada penduduk Sabah.
“Mereka terselamat kerana keberanian dan kemurahan hati rakyat Sabah. Walaupun ia cerita yang sedih, tapi telah membentuk satu perhubungan yang indah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ulang tahun Peringatan Hari Sandakan yang memasuki edisi ke-75 pada 15 Ogos lepas, disambut setiap tahun bagi memperingati POW yang dibawa dari Singapura ke Sandakan oleh tentera Jepun bagi membina landasan tentera pada tahun 1942 ketika Perang Dunia Kedua.
Hampir 1,400 POW terkorban di Sandakan, manakala selebihnya semasa perjalanan maut ke Ranau.
Goledzinowski berkata seiring dengan peredaran masa, kisah-kisah itu melalui dari satu generasi ke satu generasi dan hingga ke hari ini, ikatan yang kuat masih dapat dirasai antara rakyat di kedua-dua negara.
“Bagi generasi tahanan Australia yang terselamat ketika Perang Dunia Kedua, Borneo Utara sentiasa menjadi tempat istimewa dan kami mahu mengekalkannya dalam kalangan generasi muda. Tugas kami adalah untuk mengekalkan hubungan walaupun anggota tentera terbabit sudah tiada lagi,” katanya.
Pesuruhjaya Tinggi itu turut berbesar hati dengan kewujudan Australia Place di sini, yang mana pengunjung terutama pelancong dapat menikmati secawan kopi dan sarapan yang enak.
“Ia dikenali sebagai Australia Place kerana di situ adalah Kem Divisyen 9 Australia ketika pembebasan Borneo Utara (pada tahun 1945, Perang Dunia Kedua),” katanya.
Dalam pada itu, Goledzinowski berkata hubungan antara Australia dan Sabah sentiasa berkembang terutama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan perubatan dengan penubuhan Pusat Penyelidikan Menzies di Darwin Australia dan Pusat Penyakit Berjangkit di Kota Kinabalu.

“Pada tahun 2016, penyelidikan mengenai malaria dan tuberkulosis dijalankan bersama, khususnya dalam kajian tindak balas terhadap ubat,” katanya.
Katanya, hubungan Pesuruhjaya Tinggi Australia dan kerajaan negeri Sabah berjalan dengan baik menerusi Konsulat Australia di sini dan sentiasa sedia bekerjasama untuk faedah bersama.
“Kami sering mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah, kami mahu jalinan ini kekal dan selepas pandemik COVID-19 ini berakhir, kami berharap dapat meneruskan perbincangan dalam bidang pelancongan dan isu imigresen,” katanya.
Melihat kepada cara negeri Sabah dan rakyatnya menyimpan sejarah penting Australia ketika Perang Dunia Kedua, Goledzinowski yakin ikatan tanpa sempadan yang kuat antara Australia dan Sabah akan berterusan pada masa akan datang.
Sumber: BERNAMA