Siakap Keli

Putin Umum 20 Negara Sedia Beli Vaksin Russia, Penyelidik Masih Ragu-Ragu Keberkesanannya

Russia dikatakan menjadi negara pertama yang berjaya menghasilkan vaksin untuk virus Sars-Cov-2 bagi memerangi wabak COVID-19 yang sudah membunuh kira-kira 780 ribu mangsa dan menjangkiti lebih 22 juta individu di seluruh dunia.

Sehubungan itu, kejayaan Russia dalam penghasilan vaksin yang dinamakan sebagai ‘Sputnik’ tersebut diisytiharkan presidennya, Vladimir Putin pada 11 Ogos lalu.

Terkini, Putin mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa vaksin tersebut bakal sedia digunakan buat rakyat jelatanya dalam masa sebulan lagi.

Dakwanya, banyak negara berminat untuk mendapatkan vaksin tersebut, malah 20 negara dikenal pasti bersedia membeli berjuta-juta dos vaksin untuk rakyat mereka.

“Presiden Mexico, Mr. Obrador berkata bahawa dia sudah bersedia untuk menvaksinkan dirinya dengan vaksin Russia, jika ia terbukti sangat efektif. Dia menyatakan bahawa ideologi (geopolitik) harus dikecualikan dalam hal ini.

“Dan ini adalah petunjuk jelas yang tidak dapat diterima di Amerika Syarikat, di mana wakil penjagaan kesihatan berkata monyet pun tidak akan divaksin oleh vaksin Russia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Putin, dengan kejayaan penghasilan vaksin tersebut, Russia mampu mencabar dan menjatuhkan ego seteru kuatnya, US di mana beberapa tahun lalu, negara tersebut pernah berusaha untuk menjatuhkan kepimpinan Russia dalam penemuan vaksin bagi wabak Ebola.

“Tetapi vaksin COVID-19 Russia inilah menunjukkan satu keberkesanan terbesar dan mampu menghentikan epidemik wabak.

“Kini sejarah bakal berulang, malangnya sesetengah sekutu (negara) masih belum menerima (hakikat) bahawa vaksin Russia akan menjadi yang pertama dalam pasaran.

“Tetapi adakah kesihatan manusia kurang penting berbanding persaingan politik dan ekonomi? Kita semua berada dalam satu bot yang sama dipanggil bumi. Jaga kesihatan semua!” tambah kenyataan itu lagi.

Mengimbas kembali, vaksin Sputnik tersebut dicipta dan dihasilkan di bawah seliaan Insitut Gamaleya yang terletak di ibu negara, Moscow.

Bagaimanapun sehingga kini, keberhasilan vaksin tersebut masih mendatangkan kebimbangan buat sebilangan besar penyelidik-penyelidik di seluruh dunia, termasuk di Russia sendiri.

Jelas mereka, usaha institut tersebut berkemungkinan tidak terperinci dengan tiada sebarang data imuniti dan keselamatan yang dilaporkan di peringkat percubaan setakat ini, selain belum ada percubaan Fasa Tiga (3) yang dijalankan.

“Kelulusan pantas dalam jangka masa pendek tidak menjadikan Russia ‘juara’ dalam perlumbaan penghasilan vaksin, (sebaliknya) ia hanya akan mendedahkan kepada pengguna vaksin akan bahaya yang tidak ‘diperlukan,” jelas pihak Pertubuhan Ujian Klinikal Organisasi Russia kepada AP, memetik laporan The Scientist.

Sumber: Vladimir Putin, The Scientist

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.