SIBU, 19 Ogos — Stadium Tertutup Sibu yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama di sini di pilih sebagai venue untuk sambutan peringkat kebangsaan Hari Malaysia pada 16 Sept.
Perkara ini telah dipersetujui ketika Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Malaysia 2020, yang dipengerusikan Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom yang bertanggungjawab ke atas sambutan itu, di sini hari ini.
Stadium itu mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang luas, bagi memenuhi keperluan kehadiran yang ramai.
“Lebih kurang 1,000 orang akan menghadiri sambutan itu,” katanya mereka yang dijangkakan akan hadir termasuklah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ketika ditemui Bernama selepas mesyuarat tersebut Dr Rundi berkata, oleh kerana kehadiran yang ramai, pengimbas suhu manual tidak akan dapat dilakukan, maka pengimbas thermal akan diletakkan di pintu masuk untuk mengambil suhu badan kesemua jemputan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Jemputan adalah dinasihatkan untuk datang awal untuk beratur dan mendaftarkan diri mereka menggunakan aplikasi MySejahtera.
Semua perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengekalkan jarak fizikal selamat bagi mengelakkan penularan COVID-19.
“Kami berdoa agar tidak akan ada perubahan akibat COVID-19, supaya sambutan ini akan dapat berjalan dengan lancar, kerana kami berusaha untuk menjadikannya satu acara yang terbaik,” katanya.
Rundi berkata, adalah penting bagi memastikan para remaja untuk mengetahui kepentingan Hari Malaysia dan usaha yang telah dilakukan pemimpin terdahulu.
Latihan persembahan untuk acara sambutan akan berlangsung dari 12 hingga 14 Sept, manakala RTM akan mengadakan siaran langsung acara itu, selain penstriman langsung akan dilakukan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Selain itu, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) akan mengadakan program sehari bagi memaparkan keunikan Penyatuan Sarawak dalam pemahaman dan toleransi agama.
Program termasuklah, forum, majlis makan malam dan ‘countdown’ Hari Malaysia pada 15 Sept.
Mesyuarat itu turut dihadiri ahli jawatankuasa dari Sarawak dan Sabah, manakala mereka yang sepatutnya hadir dari Semenanjung Malaysia termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah tidak dapat menghadirkan diri, apabila penerbangan mereka dibatalkan.
Bagaimanapun mereka menyertai mesyuarat tersebut menerusi aplikasi Zoom.
Sumber: BERNAMA