Siakap Keli
thailand 5g
Kredit: Google

Thailand Negara Pertama ASEAN Perkenal 5G Secara Komersial

BANGKOK, 19 Ogos (Bernama) — Thailand bakal muncul negara pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan perkhidmatan komunikasi 5G secara komersial dan ia sekaligus boleh menjadi daya tarikan kepada pelabur asing, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Timbalan jurucakap kerajaan Rachada Dhnadirek berkata perkhidmatan komersial itu akan dimulakan tidak lama lagi berikutan permintaan pengguna dan penyedia perkhidmatan mempunyai rangkaian 4G boleh ditambah baik untuk menyokong perkhidmatan 5G di seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan telah meluluskan hak istimewa untuk projek pelaburan dan perkhidmatan berkaitan 5G bermula di Koridor Ekonomi Timur untuk memudahkan industri masa depan dan menarik pelabur asing.

Selain itu, perkhidmatan 5G pertama akan bermula di Bangkok, Chiang Mai, Nakhon Ratchasima, Khon Kaen, Songkhla, Phuket dan lapangan terbang utama.

Kerajaan menjangkakan rangkaian 5G bakal meliputi 98 peratus penduduk Thailand pada 2027 dan akan menyumbang 6.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Sekurang-kurangnya 7,000 perusahaan kecil dan sederhana bakal menggunakan 5G manakala hampir 700,000 pelajar mendapat akses kepada perkhidmatan itu.

“Walaupun kita terkesan dengan pandemik COVID-19, kerajaan sudah menyediakan teras untuk pembangunan jangka panjang dan penggunaan sumber daya yang menguntungkan. Yakinlah, bahawa Thailand tidak pernah berhenti membangunkan ekonominya atau meningkatkan kualiti hidup rakyatnya,” kata wakil jurucakap itu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.