GEORGETOWN, 20 Ogos – Seorang lelaki yang dilaporkan terjun dari Jambatan Pertama Pulau Pinang kelmarin ditemui mati oleh pasukan penyelamat semalam.
Sebelum itu, Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, Pusat Kawalan Operasi Maritim (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan ternampak mayat terapung di bawah jambatan sekitar tempat kejadian.
“Sejurus mayat mangsa ditemukan, ia terus dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban untuk pengecaman dan (mayat) telah disahkan oleh adik mangsa.
“Mayat mangsa kemudiannya diserah kepada pihak Polis Sungai Nibong untuk dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Mengimbas kembali, pihak Maritim Negeri Pulau Pinang pada kelmarin menerima satu panggilan kecemasan berkaitan seorang lelaki dipercayai terjun ke laut daripada jambatan berkenaan sekitar 1 petang hari tersebut.
Mangsa yang berusia 54 tahun, dipercayai turut meninggalkan sebuah motosikal di lorong kecemasan.
Sejurus maklumat diterima, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pihak MSRC Langkawi dengan membabitkan Bot Kilat 26 Maritim Malaysia dan Bot PSC 60 Pasukan Polis Marin.
Turut serta membantu dalam operasi itu adalah Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

