Siakap Keli
FOTO: BERNAMA

Tiga Sekeluarga Maut Kemalangan Di Bentong

KUANTAN, 21 Ogos- Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Km18 Jalan Bentong-Raub berhampiran Lurah Bilut, Bentong kira-kira 130 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusof Unis berkata kejadian pada 8.25 pagi itu yang melibatkan dua buah kereta dan sebuah lori turut menyebabkan empat yang lain cedera termasuk seorang parah manakala lima lagi selamat.

Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Norasmah Ismail, 55, serta dua adiknya Masitah, 54, dan Muslaini, 48, dari Melaka yang menaiki kereta jenis Proton Exora dipandu lelaki berusia 21 tahun bersama tiga lagi ahli keluarga mereka.

“Semua mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan semasa kemalangan berlaku, dipercayai selepas pemandu mahu mengelak apabila kereta Proton Saga di depannya menekan brek kerana terdapat kerja penyelenggaraan jalan.

“Dia dikatakan cuba mengelak ke kanan namun terlanggar belakang kereta Proton Saga sebelum kereta Proton Exora tersebut masuk ke jalan bertentangan dan bertembung dengan lori yang tidak dapat mengelak kerana jarak terlalu hampir,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Yusof berkata pemandu kereta Proton Exora itu dikejarkan ke Hospital Raub sementara tiga lagi ahli keluarganya yang cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dirawat di Hospital Bentong termasuk seorang di zon merah.

Pemandu kereta Proton Saga dan tiga ahli keluarganya serta pemandu lori berusia 37 tahun tidak cedera.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang