Siakap Keli

PGA Tahan Tujuh Tekong Warga Asing Seludup 21 Migran Di Perairan Sekinchan

PELABUHAN KLANG, 22 Ogos  — Tujuh bot nelayan tempatan membawa 28 migran termasuk tujuh tekong ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dalam satu operasi bersepadu di perairan Sekinchan, dekat sini pada Rabu dan Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah D3 Bukit Aman.

Beliau berkata operasi yang bermula pukul 1.30 petang Rabu itu adalah hasil risikan pihaknya selepas mendapati sindiket penyeludupan migran kini menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar sebagai taktik terbaharu untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Sindiket didalangi dua tekong warga Myanmar dan lima tekong warga Indonesia berkenaan menyeludup masuk pendatang tanpa izin dari negara asal menggunakan bot-bot nelayan tempatan kelas B dan C dan bertindak sebagai ‘transporter’ di Selat Melaka.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua lelaki yang ditahan dalam serbuan ke atas bot berkenaan tidak mempunyai dokumen sah dan kita sedang menyiasat sama ada mereka merupakan kru kapal atau migran yang dibawa masuk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan memindahkan migran daripada kapal rakan sejenayah di sempadan perairan antarabangsa ke bot nelayan tempatan dalam jumlah yang sedikit.

Katanya, taktik tersebut bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa kononnya migran berkenaan merupakan kru kapal malah ada migran yang terpaksa mengikuti aktiviti menangkap ikan sebelum diturunkan di jeti tertentu.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati sindiket mengenakan caj antara RM800 hingga RM1,500 untuk satu perjalanan masuk seorang migran ke negara ini.

“Polis sedang mengesan pemilik bot-bot nelayan berkenaan dan sejauh mana penglibatan mereka dengan sindiket penyeludupan migran tersebut.

“Hasil risikan mendapati, kawasan pendaratan migran yang menjadi tumpuan adalah di sekitar pesisir pantai di Selangor atau diseludup melalui jeti nelayan di Sekinchan,” katanya.

Muhammad berkata kesemua migran yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu direman sehingga 17 Sept depan dan bot nelayan serta peralatan yang dirampas bernilai RM4.2 juta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.