Siakap Keli
Gambar: Fareesa Ismail

“Usia Makin Lanjut, Kubur Memanggil-manggil”, Sayu, Wanita Kongsi Pesanan Terakhir Arwah Tunang Sebelum Maut Kemalangan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tiada siapa yang tahu tarikh kematian sendiri. Malah, kita tidak tahu siapa yang bakal pergi dulu antara kita dengan individu terdekat. Tiba-tiba sahaja, semuanya berubah. Dunia bagaikan terhenti seketika apabila menerima berita individu tersayang telahpun pergi menemui Ilahi. Saat itu, semua dirasakan bagaikan mimpi.

Inilah yang dihadapi saudari Fareesa Ismail yang baru kehilangan insan tersayang dalam satu kemalangan beberapa hari lalu.

Saya tak sangka dan saya masih tak boleh percaya dengan apa yang berlaku. Rasa macam dia masih ada lagi waktu ni. -Fareesa

Biarpun persiapan untuk pernikahan sudah 90 peratus dibuat, Fareesa terpaksa akur apabila bakal suaminya, Allahyarham Hishamudin Abdullah terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pakoh Jaya, Kuala Nerus pada 19 Ogos lepas.

Dalam tragedi itu, Allahyarham yang merupakan seorang petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaporkan terkorban di tempat kejadian.

Rasa sedih dan pilu kehilangan Allahyarham diluahkan Fareesa di laman Facebook miliknya.

Takdir Allah adalah rahsia yang paling indah. Dan perancangan Allah adalah hadiah paling sempurna. Janji Allah itu pasti.

Ya Allah, beratnya ujian ni tapi terpaksa saya tempuhi demi hari-hari yang mendatang. Saya kena kuat untuk orang sekeliling saya meskipun saya tak kuat, lemah. Abang, sayang rindu awak, kita dah buat persiapan hampir 90% dah siap, tapi awak tinggal begitu je. Astaghfirullah. Susahnya untuk saya terima semua ni.

Tahun 2020 ni banyak sangat kenangan yang awak tinggal, suka-duka, susah-payah, pahit manis semua tu kita pernah lalui. Tapi sakit lagi bila saya hilang awak begini.

Pedih bila rindukan orang yang tiada di depan kita. Dua bulan je lagi kita nak hidup bersama. Tapi Allah lebih sayangkan awak. Tak apalah abang, sayang redha dengan apa yang terjadi.

Andai jodoh kita tak panjang kat dunia ni, inshaAllah kita jumpa lagi di syurga nanti.

Allah pinjamkan awak untuk saya belajar banyak benda. Saya akan ingat dan saya akan pegang setiap kata-kata dan nasihat yang pernah awak bagi kat saya, saya hargai setiap pengorbanan awak untuk saya. Saya tahu awak bahagia, bahagia sampai awak tutup mata.

Allahu. Rindu tapi apakan daya, hanya doa sahaja yang mampu saya kirimkan untuk awak. Semoga awak tenang di alam sana abang.

Kata Fareesa, Allahyarham turut meninggalkan pesanan-pesanan yang seakan menunjukkan dia bakal pergi selamanya.

“Saat itu pasti datang. Tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Bersiap atau pun kecundang. Kau dan aku pasti pulang.”

Paparan skrin perkongsian Allahyarham beberapa hari sebelum tragedi.

“Usia makin lanjut.. Kubur memanggil-manggil.”

Sering pesan jaga solat, baca Al-Quran

Kongsi Fareesa lagi, Allahyarham Hishamudin selalu mengingatkannya agar menjaga solat dan Al-Quran.

“Arwah selalu ingatkan saya pasal solat, sesibuk mana pun Al-Quran jangan lupa baca. Andai dia pergi dulu dari saya selalulah kirim doa sedekah Al-Fatihah untuk dia. Sayang mak ayah dia sepertimana dia menyayangi mereka. Dia anak manja, ceria selalu. Suka buat orang sekeliling ketawa,” katanya.

Kali terakhir mereka bertemu ialah pada hari Selasa, 18 Ogos 2020 yang lalu.

“Terakhir saya jumpa dia hari Selasa, sehari sebelum arwah meninggal.

“Arwah sempat pergi tempat saya kerja. Selalu waktu bekerja dia tak akan ganggu. Tapi haritu dia pergi, makan nasi sama-sama cuma dia tak banyak cakap macam selalu.

Dia tenung saya lama, saya cakap jangan lah tenung saya macam tu, malu. Allahu rinduu. Andai saya tahu itu tenungan terakhir, saya nak tengok je dia sampai dia tutup mata.

Tambah Fareesa, Allahyarham sempat menelefon ibu bapa dan bakal ibu bapa mertuanya (ibu bapa Fareesa). Malah, mereka berdua juga sempat berhubung melalui telefon kurang sejam sebelum kemalangan.

“Kali terakhir saya cakap dengan dia dalam pukul 4.15 macam tu,” kongsi Fareesa, Allahyarham kemudiannya menamatkan panggilan untuk meneruskan pemanduan.

“Pukul 5 ada orang call saya cakap Hisham meninggal.”

Walaubagaimanapun, kata wanita itu, dia redha dengan apa yang berlaku.

“Memang sakit nak terima semua ni. Pahit untuk saya telan. Susah untuk saya lupakan dia. Sebab dia selalu ada untuk saya.

“Rasa berat untuk saya nak teruskan perjalanan. Tapi itulah, siapa kita nak lawan takdir tuhan.

“Terpaksa redha. Terima hakikat,” katanya mengakhiri perbualan.

Perit rasanya ditinggalkan orang tersayang. Apatah lagi jika tiada lagi peluang kedua untuk bertemu di dunia. Yang mampu, hanya menanti masa untuk bersatu di syurga jika diizinkan-Nya.

Takziah buat keluarga Allahyarham. Semoga Allah tempatkan Allahyarham Hishamudin Abdullah dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh serta memberi kekuatan buat insan terdekat dengannya.

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Ya Allah. Engkau berilah keampunan baginya, dan limpahkan rahmat kepadanya, dan selamatkan dia dan maafkan kesalahannya.

Sumber: Fareesa Ismail

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.