Siakap Keli
Kredit: Kyjanusha

(Video) Gadis Kongsi Kisah Pakai Saree Untuk Projek Kemerdekaan, Auntie India Siap Tolong Pakaikan & Beri Saree Sendiri

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Di negara Malaysia yang berbilang bangsa, asimilasi budaya dan peragaan pakaian budaya lain secara baik merupakan perkara yang diraikan.

Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana sambutan kemerdekaan atau acara makan malam di sekolah, kolej atau pejabat yang mengetengahkan konsep kebudayaan sesuatu bangsa sering mendapat sambutan baik dari pelbagai bangsa.

Malah, situasi guru berbangsa India memakai baju kurung ketika mengajar, gadis Melayu atau Cina memakai saree ketika makan malam mahupun lelaki Cina memakai dhoti merupakan sesuatu yang membanggakan bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, seorang gadis Melayu telah berkongsi pengalamannya memakai baju tradisi wanita India, saree.

Kongsi @kynajusha, ramai individu berbangsa India yang memujinya, malah seorang wanita India dilihat membantunya untuk mengemaskan pakaian tersebut.

“Semalam baru pakai saree lepastu setiap kali jumpa Indian mesti dorang puji cantik. Auntie ni siap kemaskan cara pakai lagi, sangat penyayang dan prihatin,” tulisnya.

Perkongsian Kie telah mendapat lebih 23 ribu tanda suka dan 11 ribu ulang kicau di Twitter.

Apa yang lebih menarik ialah, wanita berkenaan sanggup berulang-alik ke rumahnya untuk mengambil koleksi saree miliknya untuk diberi kepada Kie.

“Auntie sanggup tau naik motor untuk hantar. Jaga diri auntie. Nanti saya ambil gambar dengan saree auntie kasi.”

Sebenarnya ramai rakyat Malaysia berbilang bangsa yang saling menghormati dan menyayangi. Moga hari Kemerdekaan bertemakan Malaysia Prihatin tahun ini dapat menyemarakkan kembali hubungan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Kita jaga kita.

Sumber: Kyjanusha, The Week