Siakap Keli
muhammad muhaymin
Gambar: Google

Seperti Kes George Floyd, Satu Lagi Video Didakwa Polis Amerika Tindih Leher Lelaki Hingga Meninggal Dunia Didedahkan

Sebelum George Floyd, seorang lelaki berkulit hitam, Muhammad Muhaymin telah didakwa diasak polis Amerika Syarikat hingga meninggal dunia.

Berlaku di Phoenix pada 2017, kisah lelaki ini kembali mendapat perhatian masyarakat selepas video badan anggota polis berkenaan ‘dibongkarkan’ badan hak asasi manusia baru-baru ini, menunjukkan saat-saat akhir lelaki itu sebelum meninggal dunia.

Dalam video berkenaan, kedengaran lelaki berusia 43 tahun itu menyebut ‘I can’t breathe’, yang bermaksud ‘saya tidak boleh bernafas’.

Ketika diasak, Muhammad yang tidak bersenjata juga sempat menyebut ‘Allahuakbar’ ketika lehernya ditekan anggota polis.

Salah seorang daripada anggota polis kedengaran membalas, “Allah, he cannot help you right now” (Allah? Dia tidak boleh bantu kamu sekarang).

Muhaymin yang merupakan gelandangan ketika itu dipercayai mempunyai masalah mental. Dia yang bergantung kepada bantuan seekor anjing peliharaan sebagai terapi dilaporkan sedang membawa haiwan itu untuk ke bilik air awam sebelum seorang pekerja memanggil 911.

Dia kemudiannya didatangi empat orang polis di mana salah seorangnya didakwa melutut di atas lehernya selama kira-kira lapan minit sehingga Muhammad akhirnya meninggal dunia.

Menurut The Guardian, tiada seorang pun daripada anggota terlibat yang didakwa, malah mereka masih bekerja seperti biasa.

‘Service dog’ atau anjing pembantu digunakan untuk membantu individu kelainan upaya sebagai terapi dan sokongan emosi selain membantu mereka melakukan rutin seperti memandu OKU penglihatan untuk berjalan. (Kredit: Google)

Susulan itu, ahli keluarga mangsa memohon untuk menegakkan keadilan bagi Muhammad.

“Mereka tidak memberi sebarang jawapan atas tindakan mereka, tiada akibatnya (ke atas mereka). Ia amat memberi kesan ke atas keluarga kami.

“Masing-masing mempunyai cara untuk mengatasi sesuatu, tapi isunya di sini kami akan terus berhadapan dengan perkara ini dan tak akan dapat ‘sembuh’ daripadanya,” kata kakak mangsa, Mussalini Muhaymin, 48.

Wanita yang bekerja di sebuah pusat kesihatan komuniti tempatan menuntut anggota polis terlibat dikenakan hukuman yang lebih berat.

“Mereka perlu dipecat dan hilang peluang untuk bekerja di jabatan lain, hadapi hukuman undang-undang dan didakwa atas tuduhan membunuh kerana itu yang selayaknya.”

Memetik laporan CNN, siasatan dalaman pihak polis mengatakan anggota mereka “tidak melakukan tindakan yang boleh dikenakan dakwaan jenayah”, lapor The Guardian.

Pun begitu, pihak perubatan daerah Maricopa menyimpulkan bahawa kematian itu satu pembunuhan.

Laporan daripada Dr Bennet Omalu, saksi ahli keluarga mendakwa Muhammad meninggal dunia akibat sesak nafas disebabkan tekanan ke atas batang tubuhnya.

“Jika Muhammad tidak bertemu polis itu pada 4 Januari 2017, dia tidak akan mati,” katanya.

Ahli keluarga mangsa mengharapkan gerakan Black Lives Matter susulan kematian George Floyd dapat memberi semula perhatian dan membantu pendakwaan kes melibatkan Muhammad Muhaymin.

Muhammad Muhaymin yang mempunyai dua anak dan tiga saudara perempuan digambarkan sebagai seorang yang suka bergurau dan disukai ramai.

Muhammad Muhaymin bersama salah seorang anaknya. (Kredit: Google)

Dalam rakaman itu, kedengaran anggota polis mencarut kepada Muhammad yang meminta agar tidak dikasari.

“Kenapa kalian lakukan ini?” soalnya ketika ditarik keluar menuju kereta polis. Dia sempat memanggil anjingnya ‘anakku’ ketika ditarik polis ke ruangan parkir.

Muhammad kemudiannya ditolak ke kereta sebelum ditekan ke atas tanah serta ditindih pada bahagian leher, belakang, tangan dan kaki. Mereka terus mengasaknya biarpun mangsa beberapa kali memberitahu tidak boleh bernafas.

Video tersebut telah dikeluarkan badan hak asasi manusia yang menyeru datuk bandar Phoenix, Kate Gallego dan peguam daerah Maricopa, Allister Adel agar memecat, menahan dan mendakwa anggota terlibat dalam pendakwaan jenayah.

Muhaymin telah ditahan apabila pihak polis mendapati terdapat rekod lampau pemilikan marijuana setelah dia ditahan ketika melakukan kesalahan trafik pada 2016 (jaywalking).

Dalam satu surat ditulis badan hak asasi manusia, Poder in Action yang ditandatangani 61 organisasi, mereka menuntut agar keadilan dapat ditegakkan bagi pihak Muhammad Muhaymin.

“Muhaymin merupakan seorang lelaki yang mengutamakan keluarga. Dia lelaki berkulit gelap, Muslim dan lelaki kelainan upaya. Rakaman dan laporan berita menunjukkan anggota-anggota polis itu menghina dan tidak mengambil endah aspek ini sebelum mereka membunuhnya.”

Petisyen itu mendapat lebih 73,000 tanda tangan setakat ini. Badan itu turt mengajak orang ramai mengadakan protes di Majlis Perbandaran Phoenix pada 26 Ogos ini.

Kata-kata polis berkenaan boleh didengari bermula minit 6:10 video di bawah.

Sumber: The Guardian

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.