Siakap Keli
Kredit: Google

“Walau Teruk Mana Keadaan Awak, Saya Akan Sentiasa Di Sisi” Doktor Kongsi Kisah Suami Setia Teman Isteri Hidap SLE Di Wad Setiap Hari

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Cinta sejati yang membawa ke syurga pastinya diidamkan oleh segenap lapisan manusia. Mendapat pasangan yang sanggup susah bersama dan berkorban apa sahaja demi insan tersayang adalah satu rezeki.

Baru-baru ini, seorang doktor yang dikenali dengan nama Facebook Ilzanno Sharky berkongsi satu kisah yang menyentuh hati mengenai kesetiaan seorang suami menemani isterinya yang sakit kronik.

Menurut Dr Ilzanno, kisah ini berlaku ketika beliau sedang berkhidmat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Kongsi beliau, suami berkenaan sentiasa berada di sisi wanita itu dan tidak berputus asa menghadapi ujian berat itu bersama. Malah, biarpun wanita itu meminta suaminya agar melepaskannya, si suami tetap setia dan berjanji untuk terus menjaganya.

Tanpa membuang masa, mari kita baca perkongsian beliau di bawah.

Dalam banyak-banyak pesakit yang aku kenal, ada seorang pesakit ni betul-betul membuatkan diri aku sedar dan bermuhasabah diri.

Walaupun di media massa sekarang ini sibuk menceritakan tentang golongan suami yang dayus, yang bermain kayu tiga serta yang berkasar melakukan penderaan fizikal terhadap isteri mereka. Akan tetapi, bukan semua lelaki bersifat sedemikian.

Cerita ini berlaku sewaktu aku sedang posting di jabatan perubatan, di mana ketika itu aku bertugas di wad perubatan perempuan.

Puan Raihan (bukan nama sebenar), berumur 40 tahun seringkali dimasukkan ke wad atas pelbagai komplikasi penyakitnya, yang dikenali sebagai Systemic Lupus Erythematosus, atau kita selalu dengar singkatannya, iaitu SLE.

Untuk pengetahuan para pembaca semua, SLE adalah satu penyakit autoimmune di mana tanpa ada punca yang betul-betul dikenalpasti menyebabkan antibodi seseorang pesakit itu menyerang badannya sendiri.

Aku mohon maaf kerana aku harus berterus-terang di sini mengenai penyakit SLE. Penyakit ini tidak boleh disembuhkan, tetapi hanya boleh dikawal oleh pelbagai jenis ubat-ubatan berupa steroid untuk mengurangkan keupayaan antibodi ini.

Komplikasi yang timbul terbahagi kepada dua, yang pertama: antibodinya akan menyerang organ-organ dalaman seperti ginjal, jantung, otak dan hati menyebabkan kegagalan organ-organ ini, dan yang kedua: disebabkan oleh rawatan steroid yang menjadikan pesakit mempunyai imuniti yang rendah serta mudah terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan kuman.

Wanita mempunyai risiko mendapat penyakit ini lebih kurang 40 kali ganda berbanding lelaki.

Gambar contoh kesan daripada penyakit SLE. (Kredit: Google)
Kredit: Google

Kerap masuk wad

Puan Raihan merupakan pesakit yang amat kerap masuk ke wad berkenaan. Memang aku sendiri perasan, setiap kali dia dimasukkan ke wad, keadaannya menjadi semakin teruk (progressive worsening) apabila penyakit SLE ini mulai mengganas dan menyerang satu demi satu organ.

Ya, korang semua jangan risau kerana aku bukan nak bercerita panjang mengenai penyakit ini dari aspek perubatan sebab takut nanti sampai jadi 20 perenggan pula, tetapi, apa yang menarik perhatian diri aku ini adalah mengenai suami Puan Raihan yang bernama Encik Zul (bukan nama sebenar).

Setiap kali Puan Raihan dimasukkan ke wad, setiap kali itulah aku lihat En Zul menemaninya setiap saat di situ. Seperti yang korang tahu, cuma seorang pelawat sahaja yang boleh menemani pesakit di dalam wad, dan untuk kes Puan Raihan, En Zul yang sentiasa menemaninya, menjadi ‘waris’ yang seorang itu.

Saat penyakit SLE mula memamah tubuh badan isterinya sehingga menyebabkan dia terlantar, En Zul tidak pernah meninggalkan sisi isterinya. Cakaplah apa tugas sekalipun, En Zul melakukannya tanpa banyak soal.

Menukar lampin, menyuap makanan, menyapu losyen, memandikan isterinya sering dilakukan tanpa banyak soal. Pelan untuk mengalihkan posisi badan 2 jam sekali juga dilakukan tanpa ada apa-apa masalah.

Pengalihan posisi (2 hourly turning) ini adalah untuk mengelakkan komplikasi dalam bentuk bed sore yang sering berlaku kepada pesakit yang terlantar di katil.

Aku jumpa ramai pesakit yang terkena bed sore ini gara-gara si penjaganya tidak betul-betul melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya di rumah.

Ada yang sehingga boleh nampak tulang sacrum gara-gara bed sore yang amat sukar untuk dirawat. Untuk Encik Zul pula, dia menjaga isterinya tanpa mengeluh pun, cuma kadangkala sahaja, apabila tugasan itu tidak mampu dilakukan berseorangan, dia akan meminta pertolongan daripada jururawat.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Aku teringat kata-kata seorang staff nurse yang berada di wad tersebut apabila aku bertanyakan keadaan pesakit yang ketika itu berada di kubikel di bawah jagaan aku mengenai pelan rawatannya.

Katanya, “Saya jarangkali betul berjumpa waris pesakit yang menjaga isterinya ibarat permaisuri seperti ini. 4 tahun saya bekerja di wad ini, saya boleh hitung dengan jarilah berapa ramai yang buat seperti apa yang dilakukan oleh waris pesakit ni. Hebat betul…”.

Aku senyum sahaja memandang SN Reen. Memang benar, terlalu banyak kes pengabaian pesakit yang berlaku di mana kadangkala tu, beberapa hari lagi nak raya, masa tu lah mereka menghantar ibu, ayah, anak atau isteri ke hospital dan malangnya, majoritinya adalah untuk mengambil kesempatan. Menjadikan wad itu ibarat satu motel atau rumah penjagaan orang tua.

En Zul bukan begitu. Dia sentiasa berada di sisi wanita kesayangannya yang ibarat syurga bagi dirinya walaupun kelihatan tugas penjagaan ini renyah. Satu-satunya masa dia tidak berada di sisi isterinya adalah ketika waktu solat. Surau yang terletak berdekatan wad di tingkat 5 itu merupakan tempat dia solat, meminta doa, serta mengadu nasib kepada tuhan.

Setiap kali round dilakukan bersama pakar, apabila tiba di katil Puan Raihan, En Zul kebanyakan masanya hanya senyum sahaja melihat dan mendengar pelan-pelan rawatan daripada doktor pakar yang penuh dengan bahasa perubatan dan saintifik yang kadangkala amat sukar difahami pesakit dan juga waris pesakit.

Memang aku perasan, setiap kali ward round, aku susah nak membaca air mukanya. Adakah dia sedih? Gembira atau berduka? Gusar? Gelisah? Memang aku tidak langsung dapat tahu apa yang bermain dalam fikirannya berdasarkan raut wajahnya. Hanya tuhan yang tahu.

Keadaan Pn Raihan semakin teruk saban hari, walaupun rawatan yang diberikan merupakan steroid paling kuat yang berada di hospital, keadaannya ibarat tiada perbezaan.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Menangis sendiri di surau

Satu hari, sewaktu azan Zohor mula berkumandang, aku berpeluang ke surau kerana kebanyakan masanya, aku akan terlepas solat berjemaah di surau tersebut. Memang sentiasa akan ada waris pesakit yang secara sukarela menjadi imam di situ, tak kira waktu solat apa sekalipun.

Aku sempat memasuki saf yang pertama, dan selesai solat, aku perasan akan En Zul yang duduk di sebelah aku. Seperti biasa, sewaktu tamat sahaja solat, aku memang akan mengesot ke belakang. Tak tahu mengapa aku berbuat demikian, sebab memang dah jadi tabiat memandangkan saf kedua hanya ada seorang sahaja makmum yang masih lagi bersolat.

Sewaktu imam habis sahaja membacakan doa, serta bersalam-salaman, aku terus berdiri untuk menyambung tugasan di wad. aku perhati sahaja En Zul yang duduk diam seraya membaca doa dengan perlahan.

Aku mulai perasan saat dia mula mengalirkan air matanya. Bersungguh-sungguh dia meminta doa agar isterinya sembuh serta pelbagai permintaan dan doa dibacakan. Dia menekup mukanya menggunakan kedua-dua belah tangannya, seolah-olah ingin menyembunyikan kepada orang lain yang dia sedang menangis.

Pergerakan badannya yang tersenggut-senggut, serta nafasnya yang berbunyi seperti orang sedang selesema sudah cukup untuk memberitahu aku bahawa dia sedang menangis.

Tetap tersenyum depan isteri

Aku terus berlalu dan berjalan kembali ke wad menerusi pintu belakang. 15 minit kemudian aku nampak En Zul masuk menerusi pintu hadapan wad tersebut.

Kali ini, berbeza sungguh wajahnya apabila dia tiba di katil menempatkan isterinya itu. Senyum sahaja, langsung tidak menampakkan tanda-tanda kesedihan. Aku tahu, sudah tentu di perlu menyembunyikan perasaan duka dan sedih di hadapan isterinya.

Dia kembali duduk di kerusi di sebelah katil isterinya seraya mengambil makanan untuk menyuapkan Pn Raihan, yang ketika itu tidak mampu bergerak dan duduk tanpa bantuan.

Gelak tawanya memecahkan kesunyian di wad. Dia bersembang, membuat lawak serta bercerita perkara-perkara yang menghiburkan isterinya, dengan harapan isterinya tidaklah begitu terlalu berfikir mengenai penyakitnya. Distraction technique la aku fikir.

“Sampai bila lagi sayang saya perlu bertahan?” -Puan Raihan

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Beberapa hari kemudian, doktor pakar memberikan berita buruk kepada Pn Raihan dan En Zul. Buah pinggangnya gagal berfungsi akibat diserang oleh antibodinya sendiri (Lupus Nephropathy).

Rawatan hemodialisis sementara perlu dibuat dengan kadar segera sebelum komplikasi kegagalan buah pinggang ini mulai mengacau organ-organ lain, khususnya jantung (Congestive Cardiac Failure secondary to Fluid overload d/t Lupus Nephropathy).

“Baik doktor, saya faham. Biar saya yang tandatangan borang persetujuan ni ya”, katanya setelah mendengar penerangan doktor yang perlu untuk memasukkan satu tiub di bahagian leher isterinya untuk memulakan rawatan dialisis (Internal Jugular Catheter/ IJC).

Memang sedikit pun tanda kesedihan tidak ditunjukkan, walaupun isterinya mula mengalirkan air mata saat rawatan demi rawatan yang semakin lama semakin banyak dan keadaannya yang semakin kritikal hari demi hari.

Aku terdengar kata-kata Puan Raihan, “Sampai bila lagi sayang? Sampai bila lagi saya perlu bertahan. Awak kena lepaskan saya, bawa saya balik dan hentikan segala rawatan. Dah 5 tahun saya bertahan, saya terseksa… Saya dah penat sayang. Saya nak balik rumah. Sayang dah buat yang terbaik untuk saya”.

Aku lihat En Zul duduk memegang tangan isterinya. Dia tersenyum walaupun isterinya sedang menangis. Dia memujuk isterinya supaya tidak berputus asa.

“Walau teruk mana sekalipun keadaan awak sayang, saya akan sentiasa berada di sisi. Itukan janji saya masa kita bertunang dulu? Selagi ada harapan, walaupun perkara itu tampak mustahil, kita kena berikhtiar sayang”, itulah ungkapan En Zul kepada isterinya yang aku dapat dengar semasa aku mengambil semula fail pesakit di atas cardiac table.

Keesokkan harinya, tiba-tiba wad tersebut bagai dilanda todak. Terlalu banyak kerja dan terlalu sibuk kerana ada 2 orang pesakit di wad tersebut meninggal dunia. Setelah kerja-kerja penting dan utama aku selesaikan, aku segera ke surau kerana jam sudah pun menunjukkan pukul 3.00 petang dan aku masih belum menunaikan solat Zohor lagi.

Pelan yang tidak mustahak boleh aku selesaikan setelah aku solat nanti. Aku melalui katil Puan Raihan, dan berasa sedikit pelik apabila kelibat En Zul tidak kelihatan di sisinya.

Saat aku melangkah masuk ke surau, aku dapati En Zul sedang duduk bersila di bahagian belakang surau. aku lihat raut mukanya yang sedang bersedih. Terlihat juga bekas air mata yang sudah kering di kedua-dua pipinya. Di tangannya, terdapat Al Quran yang masih dipegang erat. aku segera bersolat di situ berseorangan. Selesai solat, aku menyapanya,

“En Zul, macamana semuanya?”, aku bertanya dengan niat memulakan perbualan.

“Entahlah doktor, semakin lama semakin sukar saya nak hadapi semua ni”, jawabnya setelah beliau mengenali aku sebagai salah seorang doktor di wad tersebut.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

“Saya sebenarnya tak tahu nak nasihat bagaimana, kerana saya sendiri tidak pernah mengalami keadaan sebegini. Tapi, kalau En Zul nak cakap apa-apa, saya boleh dengar. Mungkin Encik Zul rasa tenteram sedikit setelah encik dah luahkan segalanya”, aku menyambung perbualan.

“Saya fikir saya dah lakukan yang terbaik untuk isteri saya. Saya berhenti kerja semata-mata nak menjaganya. Saya tiada anak, kerana isteri saya memang tidak boleh mengandung akibat penyakit ni juga. Saya terpaksa berpindah rumah sebab dihalau oleh tuan rumah tersebut kerana tak dapat bayar sewa rumah.

“Saya tinggal di kampung halaman isteri kerana lebih dekat dengan isteri saya… Mak dan ayah pun turut tolong kurangkan beban kami berdua”, dia mula menceritakan segalanya sambil tersedu-sedu menahan kesedihan.

“Jika segalanya sudah ditetapkan dan tuhan boleh berbicara, saya ingin nak tanya kenapa dugaan sebegini datang tak henti-henti. Saya tak faham apa hikmahnya. Kenapa saya yang perlu hadapi semua ini. Saya korbankan segalanya, tapi masih tak cukupkah?”, dia menyambung. Aku tahu, dalam keadaan sedemikian rupa, seseorang yang terlalu stress mempunyai kebarangkalian untuk bercakap sesuatu yang tidak begitu normal.

“Saya rasa En Zul merupakan insan yang terpilih. En Zul didatangi ujian demi ujian kerana Allah tahu, En Zul mampu menanggungnya”, itu sahaja aku mampu katakan, kerana aku sendiri tak sangka sebegitu teruk keadaannya.

“Ya doktor. Maafkan saya, saya cuma rasa semakin hari semakin tiada harapan untuk kami berdua hidup sampai ke tua”, katanya.

Aku hanya mampu mendiamkan diri dan mengangguk.

“Memang orang kata setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, tak mengapalah, saya masih mampu bersabar, reda dan menunggu dengan penuh harapan, apakah hikmah di sebalik perkara yang berlaku ini”, dia menyambung sambil berdiri dan bersalaman kepada aku serta mengucapkan terima kasih.

Aku tergamam kerana begitu hebat ujian yang diberikan kepadanya. aku yakin, kerana dia mampu lah, dia diberikan ujian tersebut. Kalau akulah berada di tempatnya, aku tak tahu apa yang akan berlaku kerana aku tidak sekuat En Zul pun.

Dia kemudian berjalan menuju ke wad. Aku mengikutinya daripada belakang. Dia singgah ke sinki yang terletak di wad berkenaan sambil membasuh mukanya dan mengelap menggunakan tisu. aku rasa perbuatannya itu adalah untuk menyembunyikan kekecewaan dan kedukaan saat dia berjumpa isterinya semula. Dia tidak mahu isterinya menjadi lebih sedih apabila dia bersedih.

Sebaik sampai sahaja di katil isterinya, En Zul senyum kembali, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Aku memerhati gelagatnya daripada jauh dan memikirkan pengajaran yang amat penting untuk diri aku sendiri.

Alangkah bertuahnya Pn Raihan mendapat suami seperti En Zul. Di saat puluhan kes si suami atau si isteri meninggalkan pasangan mereka apabila mereka sakit sebegini, masih ada dan wujud lagi lelaki sebegini, yang mana ayat “Saya sanggup berkorban apa sahaja demi isteri yang tercinta” betul-betul dilaksanakan, bukan sekadar omong kosong.

Ada pula yang menceraikan isterinya dengan alasan bahawa isterinya tidak boleh mengandung. Berita-berita sebegini sebenarnya amat toksik dan melalui pembacaan sekalipun, perkara negatif sebegitu rupa mempunyai kesan kepada para pembaca juga.

Puan Raihan dibolehkan discaj beberapa hari kemudian, dan dia perlu ke pusat dialisis secara kerap selepas itu memandangkan kerosakan buah pinggangnya berada di tahap akhir.

Dalam hati aku berdoa, agar apabila tiba giliran aku untuk menghadapi dugaan sebegini, aku akan melakukan apa yang En Zul lakukan sebagai suami, demi isteri yang tercinta.

Sumber: Ilzanno Sharky

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.