Kerajaan Sabah Minta Pendirian Tegas Wisma Putra Berhubung Isu Peta Filipina

KOTA KINABALU, 24 Ogos – Kerajaan negeri Sabah telah meminta Wisma Putra mengeluarkan amaran keras kepada kerajaan Filipina berhubung pencetakan peta Sabah dalam pasport Filipina.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Duta Filipina di Malaysia mesti dipanggil ke Kementerian Luar bagi menjelaskan perkara itu.

Beliau berkata rakyat Sabah telah dijanjikan keselamatan dan perlindungan semasa penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963, oleh sebab itu Kementerian Luar perlu mengambil tindakan tegas terhadap perkara yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan Sabah serta provokasi yang tidak sepatutnya.

“Sabah adalah negeri yang berdaulat dan perkara ini telah diselesaikan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan hari ini, sambil meminta Wisma Putra menyatakan pendiriannya dengan tegas.

Semalam, media melaporkan tentang keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Mohd Shafie menegaskan Sabah adalah negeri merdeka dalam Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diterangkan dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Berikutan itu, walau apa cara sekalipun, Filipina tidak mempunyai asas, sejarah atau lunas perundangan untuk membuat tuntutan ke atas Sabah, katanya.

“Amat dikesali apabila Filipina telah bertindak bertentangan dengan semangat ASEAN dan prinsip asas saling menghormati kedaulatan, kesaksamaan, integriti wilayah masing-masing dan identiti negara bagi setiap anggota ASEAN,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Editor: Edayu

Tambah komen