Siakap Keli

Polis Sahkan Terima Laporan Penganiayaan Haiwan

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Polis mengesahkan ada menerima laporan berkaitan penganiayaan haiwan yang disyaki berlaku di Taman Persekutuan Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail dekat sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata laporan dibuat oleh kakitangan Jabatan Landskap Negara petang tadi selepas menerima video dan tangkap layar menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan keadaan monyet yang cedera dan biawak yang mati selepas dipanah.

“Video dan gambar itu memaparkan seekor monyet dan biawak yang dianiaya apabila busur panah tertusuk pada bahagian pangkal ekor monyet dan tengah badan biawak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang jika disabitkan kesalahan akan membawa hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, polis memandang serius perkara yang berlaku dan menggesa mana-mana pihak atau individu yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat mengenai pelaku, boleh menghubungi pihak polis di talian hotline 03-8888 2010 atau talian hotline polis Ibu Pejabat Polis Brickfields, 03-2297 9222.

Hari ini tular di media sosial video seekor monyet cedera dengan keadaan panah tertusuk di bahagian ekornya dan biawak yang mati selepas disyaki dipanah individu tidak bertanggungjawab.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang