Siakap Keli

Covid-19: Strain Virus Jangkiti Kluster Tawar Masih Dalam Kajian

PUTRAJAYA, 25 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan kajian berhubung strain atau jenis virus COVID-19 yang menjangkiti Kluster Tawar dan tidak menolak kemungkinan virus itu telah bermutasi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jangkitan COVID-19 daripada Kluster Tawar adalah tinggi dan pihak makmal sedang mengenal pasti jenis virus itu.

“Kita telah mengambil ujian atau swab virus itu di makmal, dan makmal akan cuba asingkan virus itu sebelum kita boleh kulturkan dan baca genomik virus itu.

“Jadi siasatan sedang dijalankan, tetapi sekarang ini kita tidak pasti walaupun kita boleh syak ada perubahan daripada mutasi tapi kita tidak dapat sahkan lagi,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun tiada kes positif COVID-19 dikesan daripada Kluster Pesakit Dalam Siasatan (PUI) Sivagangga dalam tempoh dua minggu ini, siasatan dan penyelidikan mengenai virus yang menjangkiti individu daripada kluster itu masih diteruskan.

“Siasatan atau penyelidikan masih dijalankan di makmal dan setakat ini tiga kes didapati positif yang ada mutasi D614G. Kalau kita lihat, mutasi ini hanya mengatakan ada kebolehjangkitan lebih tinggi tetapi dari segi keganasan, virus tersebut adalah lebih kurang sama dan bukan ada komplikasi dari segi rawatan,” katanya.

Kluster Tawar yang kebanyakannya bertumpu di Mukim Tawar, Kedah, merupakan kluster terbesar ketika ini dengan kes pertama kluster adalah lelaki warga tempatan yang juga peniaga.

Lelaki itu dikatakan mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Setakat hari ini, Kluster Tawar telah mencatatkan 70 kes positif dan enam daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 3,547 orang telah disaring dalam kluster ini iaitu 3,018 orang di Kedah, 518 orang di Pulau Pinang dan 11 orang di Perak.

Ditanya mengenai lima kes baharu dalam Kluster Tawar yang kesemuanya membabitkan pelajar sekolah rendah dan merupakan kontak rapat kepada kes ke-9197, Dr Noor Hisham berkata pihaknya masih menjalankan saringan dan siasatan berkaitan.

“Sekolah itu telah ditutup dan kita sedang jalankan siasatan ada kemungkinan jangkitan itu daripada ibu kepada anak dan anak itu ada kawan di sekolah sama, jadi itu generasi ketiga bukan pertama,” katanya.

Sementara itu berhubung laporan mengatakan kanak-kanak berpotensi menjadi golongan silent super spreader COVID-19, beliau berkata setakat ini pihaknya masih belum mengesan perkara berkenaan di negara ini.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata penamatan lebih awal Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran di dua buah kampung di Perlis dan empat mukim di Kedah mulai esok adalah berikutan tiada kes positif dikesan dalam tempoh lebih dua minggu pelaksanaannya.

“Kita tamatkan sebab ujian kedua telah dijalankan dan semua didapati negatif lebih tempoh 14 hari iaitu tempoh inkubasi,” katanya dan menambah, pemantauan tetap akan dijalankan pihaknya.

PKPDB di kedua-dua kawasan itu sepatutnya tamat pada 31 Ogos ini.

Dalam sidang media itu Dr Noor Hisham turut mengumumkan empat lagi kluster telah ditamatkan pengawasan dan pemantauan hari ini selepas 28 hari tiada kes baharu dan kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang tamat sebanyak 89.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang