Siakap Keli

Indonesia Catat 2,447 Kes Positif Baharu Dalam Tempoh 24 Jam

JAKARTA, 25 Ogos – Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat kepada 157,859 kes secara keseluruhan, manakala 76,667 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus itu.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 2,447 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam di republik berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 99 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini meningkat kepada 6,858 orang.

Dalam tempoh 24 jam itu, Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif baharu tertinggi iaitu 637 kes, dengan 16 lagi kematian.

Provinsi Jakarta kini mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 34,740 kes, diikuti Jawa Timur (30,998) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Provinsi Jawa Timur pula mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,222 orang, diikuti Jakarta (1,129), Jawa Tengah (874), Sulawesi Selatan (350) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang